PERJALANAN selama lima hari meneroka Jakarta dan Bandung, Indonesia menerusi Program Lawatan Wartawan-Pempengaruh dari 16 hingga 20 November 2026 membuka peluang menyelami keunikan warisan sejarah, budaya dan keindahan alam negara jiran itu.
Lawatan disertai 13 pengamal media dan pempengaruh media sosial dari Sarawak bukan sekadar membawa peserta mengunjungi destinasi popular, malah memberikan gambaran bagaimana Indonesia memanfaatkan kekayaan sejarah, budaya dan alam semula jadi sebagai aset industri pelancongan.

Program anjuran Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching dengan kerjasama AirBorneo bertujuan memperkukuh hubungan pelancongan antara Sarawak dengan Indonesia, khususnya susulan pelancaran penerbangan terus Kuching-Jakarta oleh AirBorneo pada 13 November 2026.
Kemudahan itu dijangka memudahkan rakyat Sarawak meneroka pelbagai destinasi pelancongan di Indonesia, sekali gus membuka ruang kepada hubungan lebih erat antara kedua-dua wilayah.
Sepanjang lawatan, rombongan mengunjungi beberapa destinasi utama termasuk Taman Mini Indonesia Indah (TMII), Kota Tua Jakarta, Kawah Putih dan Saung Angklung Udjo.

TMII yang terletak di Jakarta merupakan taman budaya yang menghimpunkan warisan masyarakat daripada pelbagai wilayah di seluruh kepulauan Indonesia.
Dikenali sebagai miniatur Indonesia, taman itu membolehkan pengunjung mengenali kepelbagaian etnik, adat resam, seni bina tradisional, pakaian dan tarian masyarakat tanpa perlu mengunjungi setiap wilayah di negara berkenaan.
Antara tarikan utamanya ialah replika rumah tradisional seperti Rumah Tongkonan dari Sulawesi Selatan, Rumah Betang dari Kalimantan, Rumah Honai dari Papua dan Rumah Lamin dari Kalimantan Timur.

Setiap rumah mempunyai reka bentuk, bahan binaan dan ukiran tersendiri yang mencerminkan identiti serta keunikan masyarakat setempat.
Lawatan ke TMII turut memberikan gambaran bagaimana kepelbagaian etnik dan budaya membentuk identiti nasional Indonesia.
Jika TMII membawa pengunjung mengenali kepelbagaian budaya Nusantara, Kota Tua Jakarta pula mengajak mereka menelusuri sejarah ibu negara Indonesia yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Batavia.
Kawasan itu menyimpan pelbagai peninggalan zaman penjajahan Belanda yang kini menjadi tarikan pelancongan warisan.

Antara lokasi tumpuan ialah Dataran Fatahillah yang dikelilingi bangunan bersejarah bercirikan seni bina kolonial Belanda.
Dataran berkenaan meriah dengan kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa yang mengambil kesempatan bergambar, menyaksikan persembahan jalanan serta menyewa basikal berwarna-warni untuk mengelilingi kawasan itu.
Bangunan bersejarah dan muzium di sekitarnya pula memberikan gambaran mengenai kehidupan masyarakat, perkembangan perdagangan serta sistem pentadbiran Jakarta pada zaman dahulu.

Keunikan Kota Tua terletak pada gabungan nilai sejarah dengan aktiviti pelancongan moden yang menjadikannya antara destinasi warisan penting di Jakarta.
Perjalanan dari Jakarta ke Bandung turut memberikan pengalaman berbeza apabila rombongan berpeluang menaiki Whoosh, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi pertama di Asia Tenggara.
Perkhidmatan itu menghubungkan Jakarta dengan kawasan Bandung dan menjadi pilihan pengangkutan moden bagi perjalanan antara kedua-dua destinasi berkenaan.

Bagi perjalanan sejauh kira-kira 150 kilometer itu, Whoosh mengambil masa sekitar 30 minit, berbanding perjalanan darat biasa yang boleh mencecah tiga jam.
Di Bandung, rombongan mengunjungi Kawah Putih di kawasan Ciwidey, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar, yang terkenal dengan keindahan tasik kawahnya.
Pengunjung disambut pemandangan tasik berwarna putih kehijauan yang dikelilingi batuan gunung berapi, tumbuhan pergunungan dan kabus nipis.

Warna air tasik itu boleh berubah mengikut keadaan persekitaran, suhu dan pencahayaan matahari, sekali gus menghasilkan panorama yang berbeza daripada tasik semula jadi biasa.
Selain keindahan alam, Kawah Putih turut menyimpan sejarah geologi yang berkait rapat dengan aktiviti gunung berapi Gunung Patuha yang mempunyai ketinggian kira-kira 2,434 meter dari aras laut.
Suatu ketika dahulu, kawasan itu dianggap mistik oleh masyarakat tempatan berikutan kepercayaan bahawa burung yang menghampiri puncak Gunung Patuha akan mati.

Bagaimanapun, keadaan itu kemudiannya dikaitkan dengan pelepasan gas sulfur daripada aktiviti geoterma di kawasan berkenaan.
Kawah Putih juga pernah menjadi lokasi perlombongan sulfur ketika zaman penjajahan Belanda sebelum diambil alih tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Sejak dibangunkan sebagai destinasi pelancongan pada 1987, kawasan itu berkembang menjadi antara ikon pelancongan Bandung yang menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa.

Pengalaman di Bandung turut dilengkapkan dengan kunjungan ke Saung Angklung Udjo bagi mengenali seni muzik tradisional masyarakat Sunda.
Di pusat kebudayaan itu, pengunjung berpeluang menyaksikan keunikan angklung, alat muzik tradisional yang diperbuat daripada buluh dan dimainkan dengan cara menggoncangkannya bagi menghasilkan bunyi tertentu.
Alat muzik yang mempunyai hubungan rapat dengan kehidupan masyarakat Sunda itu kini turut digunakan untuk memainkan pelbagai lagu, termasuk muzik moden dan antarabangsa.
Keunikan angklung turut mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.
Saung Angklung Udjo bukan sekadar menawarkan persembahan kepada pelancong, malah berperanan sebagai pusat pendidikan seni, penghasilan alat muzik buluh dan pembangunan bakat generasi muda.
Antara persembahan yang disajikan termasuk orkestra angklung, wayang golek, tarian tradisional Sunda serta permainan tradisional kanak-kanak.
Pengalaman lebih menarik apabila pengunjung turut diberikan angklung untuk dimainkan secara berkumpulan.
Dengan bimbingan pengendali persembahan melalui isyarat tangan, setiap peserta perlu menggoncangkan angklung mengikut nada yang ditetapkan sehingga menghasilkan sebuah lagu secara bersama-sama.
Secara keseluruhannya, lawatan itu memberikan gambaran mengenai kepelbagaian tarikan pelancongan Jakarta dan Bandung, daripada warisan sejarah serta kebudayaan hingga keindahan alam semula jadi.
Kemudahan penerbangan terus Kuching-Jakarta yang disediakan AirBorneo turut membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Sarawak meneroka destinasi berkenaan, sekali gus memperkukuh hubungan pelancongan antara Sarawak dengan Indonesia.

