KOTA SAMARAHAN: Bekas juara Samarahan, Halikul Lenando dan Syed Mohamad Bolhassan Wan Ahmad, hanya mengambil masa 20 minit untuk mengesahkan kejuaraan Kejohanan Badminton Tertutup Inhouse Kelab Union yang berlangsung di Dewan Arena Rubiah Wang semalam.
Mereka menewaskan beregu pilihan, Muhammad Iqbal Dzikri Jemat dan Lau Ngie Choon, secara straight set 21-13, 21-12 dengan mempamerkan permainan bertahan yang mantap.
Kemenangan ini menandakan kembalinya gandingan juara ini setelah beberapa tahun tidak beraksi di pentas kompetitif. Halikul dan Syed merupakan bekas juara bertahan kejohanan badminton Samarahan selama lima tahun berturut-turut bermula pada awal tahun 2013.

Walaupun tidak beraksi bersama sejak awal 2018 akibat kecederaan serius yang dialami Syed, Halikul menganggap kejayaan ini sebagai langkah pemanas badan bagi gandingan mereka untuk kembali beraksi di pentas kompetitif.
“Keserasian masih ada walaupun kita sudah lama tidak bermain bersama. Mungkin kita akan berbincang untuk bergandingan semula menjelang temasya tahun baharu nanti,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Aksi akhir menyaksikan beregu pilihan, Iqbal dan Lau, terpaksa akur menduduki tempat kedua, walaupun mereka berjaya mengatasi beregu Zulpakar Hamdan dan Ahmad Yusof Abdul Razak dalam aksi sengit semi final dengan keputusan 21-18, 21-17.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM150, diikuti naib juara dengan RM100. Tempat ketiga bersama dirangkul oleh beregu Zulpakar dan Ahmad Yusof serta beregu Jasmi Yahya dan Mohamad Nazri Chemeng.
Pengerusi Kelab merangkap Penganjur Kejohanan, Sulaiman, menyatakan bahawa kejohanan edisi kedua telah melabuhkan tirai dengan penyertaan memberansangkan daripada para ahli kelab.
“Terima kasih kepada semua peserta yang telah memberikan kerjasama untuk menjayakan kejohanan ini. Saya berharap pertandingan seperti ini dapat mengeratkan silaturahim antara ahli dan menjadi pendedahan terbaik khususnya untuk pelapis muda yang meminati sukan bulu tangkis,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.






