Dari lorong sempit ke stesen TV

KUCHING: Menjejaki kisah di sebalik lorong di Jalan Carpenter Kuching menjadi tugasan pertamanya sebagai pemberita pelatih pada 1996 dan tugasan itu membawanya ke dunia kewartawanan.

“Ia tugasan pertama saya seperti yang diarah Editor Eksekutif Utusan Sarawak waktu itu, Dr Jeniri Amir,” kata Ketua Pegawai Operasi Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune Rudi Affendi Khalik mengimbas kembali kenangan lalu.

Apa yang menarik tentang lorong yang terletak berhampiran Jalan Main Bazaar dan Tebingan Kuching itu?

Jika dilihat dari mata kasar, ia cuma lorong yang ada denyut nadi dan menjadi jantung bandar raya Kuching.

“Banyak kisah di sana. Saya membongkar banyak kisah kemanusiaan seperti kisah pembuat pelita dan periuk. Saya belajar menulis dari sana.

“Terlalu banyak momen untuk saya kenang sehingga hari ini, guru saya Dr Jeniri yang mengajar saya bagaimana untuk menjadi wartawan sejati. Beliaulah universiti saya.

“Beliau berterusan berikan saya tugasan berat ketika jadi wartawan pelatih. Malah selepas 26 tahun, saya ditakdirkan bekerja kembali di bawah beliau dan tugasan diberinya semakin berkembang dan lebih besar.

“Terima kasih Dr Jeniri, kerana beliaulah saya berlari dari lorong sempit ke lebuh raya lebih besar dan berdiri seperti mana saya hari ini,” katanya ketika hadir pada majlis perpisahan di pejabat Suara Sarawak semalam.

Mulai 15 Julai lalu, Rudi, 45, melangkah lebih jauh setelah dilantik sebagai Ketua Bahagian Berita dan Ehwal Semasa sebuah stesen televisyen yang berpangkalan di Sarawak.

Stesen TV berkenaan dijangka beroperasi dalam beberapa bulan lagi.

Kini Dr Jeniri ialah Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune.

Kongsi Dr Jeniri, tugasan di lorong sempit itu bertujuan menguji sejauh mana Rudi mengekploitasi deria pandang, dengar, hidu dan rasa.

Imbasnya, banyak perkara dan aktiviti yang dapat ditulis asalkan seseorang itu tahu aspek atau sudut yang hendak ditulis.

“Hal ini menuntut daya kepekaan yang tinggi. Saya tidak kecewa kerana Rudi balik ke pejabat dengan kisah yang menarik.

“Beliau telah memulakan langkah pertamanya dalam dunia kewartawanan dari lorong sempit.

Rudi kemudiannya menerajui portal Sarawak Voice sebelum dilantik sebagai COO Editorial Suara Sarawak dan Sarawak Tribune.

“Beliau juga antara tulang belakang penerbitan berita Awani Sarawak, yang kini bersiaran setiap hari memaparkan berita Sarawak selama 15 minit menerusi saluran Astro Awani,” jelasnya lagi.

Dr Jeniri menambah, selepas melakar kejayaan dalam media cetak, amat wajar Rudi melangkah ke arena media yang lebih mencabar iaitu televisyen.

“Kejayaan Rudi adalah disebabkan oleh kegigihan, komitmen, minat mendalam dan kesungguhannya menguji dan mencabar potensi dan bakatnya.

Ia juga membuktikan kerjaya kewartawan tidak statik dan sentiasa berkembang,” tambahnya.

Untuk rekod, Rudi turut memenangi pelbagai anugerah kewartawanan di dalam negeri dan kebangsaan, termasuk merangkul Piala Ketua Menteri, Anugerah Kewartawanan Kenyalang Kategori Bahasa Melayu pada tahun lalu, menerusi penulisannya untuk akhbar BH.