ARTIKEL

Urooj ketika menyampaikan ucapan sekali gus menjadi wakil pelajar pascasiswazah pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS, Sidang Pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS, di sini, hari ini. Foto: Tangkap layar menerusi siaran langsung

Dari Pakistan ke Sarawak: Kisah Keberanian dan Cinta Ilmu Dr. Urooj Ahmed di UNIMAS

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Dari tanah Pakistan ke bumi Sarawak, perjalanan Dr. Urooj Ahmed bukan sekadar kisah menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD), tetapi juga sebuah kisah tentang keberanian, doa dan kasih, serta bagaimana UNIMAS menjadi rumah keduanya dalam menempuh cabaran sebagai pelajar antarabangsa.

Berdiri di pentas megah Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Urooj merupakan salah seorang siswazah yang menerima skrol PhD pada sidang pertama hari ini, dan turut menjadi wakil pelajar pascasiswazah untuk menyampaikan ucapan.

Beliau berkata, pencapaian tersebut merupakan antara penghormatan terbesar dalam hidupnya sekali gus bakal menjadi detik yang akan dikenang hingga ke akhir hayat.

“UNIMAS bagi saya bukan sekadar sebuah universiti, ia adalah rumah kedua buat saya. Datang ke Malaysia, jauh daripada keluarga dan tanah air, merupakan antara keputusan terbesar yang pernah saya buat dalam hidup ini.

“Bagaimanapun, Sarawak menyambut saya dengan kehangatan yang menukar rasa takut menjadi keyakinan dan rasa asing menjadi rasa dimiliki,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS, Sidang Pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR), UNIMAS, di sini, hari ini.

Mengenang kembali ketika baharu tiba di Bumi Kenyalang, Urooj memberitahu beliau masih ingat minggu pertama berada di Sarawak — segalanya terasa baharu dan asing.

“Tetapi satu ungkapan mudah telah mengubah segalanya, iaitu ucapan mengalu-alukan — Selamat Datang ke Sarawak. Kehangatan itu membuatkan saya berasa selamat, disokong dan benar-benar diterima.

“Sejak detik itu, Sarawak menjadi dekat di hati saya. Jika ada sesiapa yang bertanya tentang melanjutkan pelajaran di luar negara, saya akan menjawab dengan penuh bangga — pilihlah UNIMAS kerana di sini, anda bukan sekadar memperoleh ijazah tetapi menemukan diri anda yang terbaik,” ujarnya.

Beliau yang menamatkan pengajian di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEB) turut merakamkan penghargaan kepada Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit, barisan kepimpinan universiti serta seluruh warga akademik yang telah mencipta suasana pembelajaran kondusif dan menginspirasi.

Pada masa sama, beliau tidak melupakan jasa Profesor Dr. Rossazana binti Abdur Rahim, mantan dekan fakulti tersebut yang disifatkannya sebagai pemimpin berjiwa besar dan penuh belas ihsan.

Dalam ucapannya juga, beliau menzahirkan penghargaan penuh emosi kepada kedua-dua ibu bapanya.

Menurut Urooj, PhD bukan sekadar perjalanan peribadi, tetapi merupakan misi ayah dan impian ibunya.

“Ayah saya seorang profesor yang juga menjadi inspirasi terbesar saya. Doa dan kekuatan ibu pula menjadi tiang yang menyokong saya dalam setiap cabaran,” jelasnya sambil berterima kasih kepada abang, kakak dan suaminya yang sentiasa menyokong serta menemani setiap langkah perjuangan.

Beliau mengakui perjalanan sebagai pelajar PhD penuh dengan ujian — malam tanpa tidur, semakan tanpa henti dan sebagainya. Namun setiap cabaran itulah yang membentuk dirinya menjadi insan lebih kuat, fokus dan bersyukur.

“Di sebalik kejayaan, ada doa, kasih sayang dan kesabaran. Saya belajar bahawa kejayaan sebenar dibina atas konsistensi, disiplin dan keyakinan walaupun ketika tiada siapa yang melihat,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan akademik bukan hanya diukur melalui gelaran atau anugerah, tetapi melalui kebijaksanaan, pandangan hidup dan makna yang diperoleh sepanjang perjalanan ilmu.

“UNIMAS telah memberikan kita lebih daripada sekadar ijazah, ia memberikan identiti, rasa kepunyaan dan keberanian. Ke mana pun kita pergi, bawalah semangat UNIMAS — rasa ingin tahu, belas ihsan dan keberanian, serta ingatlah bumi Sarawak yang membentuk siapa kita hari ini.

“Jika kita berjaya menamatkan pengajian PhD, tiada apa di dunia ini yang tidak mampu kita atasi. Hari ini, kita berdiri sebagai graduan UNIMAS yang bangga — membawa semangat ketahanan, inovasi dan kecemerlangan,” katanya disambut tepukan gemuruh.

Memetik hantaran UNIMAS Global di laman Facebook, Urooj dan suaminya, Dr. Khalid Hafeez masing-masing menerima skrol PhD yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang pertama pagi tadi. Pasangan suami isteri itu juga merupakan graduan bangga dari FEB.

Menambah kepada kejayaan luar biasa keluarga ini, Areej Ahmed yang merupakan adik kepada Urooj turut menamatkan pengajian di peringkat Sarjana dari fakulti yang sama dan bakal melanjutkan pengajian ke peringkat PhD di UNIMAS tidak lama lagi.

Seorang lagi adik-beradiknya, Mannar Ahmed, juga kini sedang mengikuti pengajian PhD di UNIMAS.

Perjalanan keluarga yang menginspirasikan ini bukan sahaja mencerminkan dedikasi mereka terhadap kecemerlangan akademik, tetapi turut memperlihatkan keyakinan serta kepercayaan pelajar antarabangsa terhadap UNIMAS sebagai pusat pendidikan dan penyelidikan berkualiti.

Sehubungan itu, UNIMAS turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada keluarga Ahmed atas pencapaian cemerlang mereka serta sumbangan terhadap komuniti akademik universiti yang pelbagai dan dinamik.

BERITA LAIN

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih

BERITA TERBARU

Satu Gol Ranap Impian KCFC

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih