SARIKEI: Apam balik hasil air tangan anak jati Sandakan, Sabah terus menjadi pilihan ramai apabila jualannya yang berasaskan resipi turun-temurun masih kekal menerima sambutan luar biasa setiap hari.
Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal Apam Balik itu berkata, resipi digunakan merupakan warisan berharga yang dipelajarinya daripada bapa saudara di Tawau lebih 40 tahun lalu.
Ketika itu, beliau masih dalam lingkungan usia belasan tahun namun sudah menunjukkan minat mendalam untuk mempelajari cara membuat kuih popular tersebut.
“Kemahiran yang saya pelajari daripada pakcik ketika di Tawau menjadi batu loncatan untuk saya menceburi dunia perniagaan kecil-kecilan.
“Namun, saya mula berniaga apam balik secara serius selepas berpindah ke Sarikei. Ketika itu saya masih bujang dan menjadikan perniagaan ini sebagai sumber rezeki utama untuk menampung kehidupan sebagai anak rantau,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Rizal memulakan perniagaan dengan membuka gerai di pasar tamu sebelum berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain sehingga akhirnya menetap di Jalan Abdul Rahman, yang kini menjadi tumpuan pelanggan setianya.
Beliau mengakui setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri namun tetap percaya bahawa rezeki ditentukan Allah.
Bagaimanapun katanya, menjaga kualiti adalah prinsip utama kerana kepuasan pelanggan merupakan faktor paling penting dalam kelangsungan perniagaannya.
“Apam balik ini adalah punca pendapatan saya. Justeru, saya akan pastikan setiap apam balik yang dijual memenuhi citarasa dan harapan pelanggan,” katanya, sambil mendedahkan bahawa beliau menggunakan sehingga 20 kilogram tepung setiap hari bagi memenuhi permintaan.
Beliau beroperasi dari jam 1.30 petang hingga 6 petang setiap hari, dengan harga apam balik bermula RM3.00, bergantung kepada pilihan dan permintaan pelanggan.
Tambahnya, meskipun sudah puluhan tahun berniaga dan kini bergelar datuk, beliau tetap berasa gembira menjalankan pekerjaan tersebut.
Dalam pada itu, Rizal turut meluahkan rasa syukur kerana rezekinya sentiasa dipermudah sepanjang lebih empat dekad berniaga.
“Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pelanggan yang tidak putus-putus memberi sokongan, sekali gus menjadi pendorong untuk saya terus bertahan hingga ke hari ini,” katanya.

Sarawak Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICOMOS 17 Hingga 24 Oktober Ini
KUCHING: Sarawak bakal menjadi tumpuan komuniti warisan antarabangsa apabila menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung dan Simposium Saintifik ke-22 Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026,
