KUCHING: Pengenalan dasar khusus kesaksamaan gender di peringkat kebangsaan dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada wanita untuk bertanding dalam pilihan raya serta menganggotai barisan kepimpinan parti politik.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Doris Sophia Brodie berkata, langkah itu penting bagi menangani halangan sosiobudaya dan struktur yang selama ini mengehadkan peluang wanita untuk menyertai proses membuat keputusan.
Menurutnya, persepsi tradisional yang mengaitkan kepimpinan dengan lelaki serta struktur politik yang masih didominasi golongan berkenaan menyebabkan wanita berkelayakan sering terlepas peluang untuk memegang jawatan penting.
“Tanpa mengira pengalaman, kelayakan akademik dan kecekapan yang dimiliki, wanita sering diketepikan kerana lelaki masih dianggap lebih maskulin, sekali gus dilihat lebih layak menjadi pemimpin,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.
Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, komitmen meningkatkan perwakilan wanita wajar diperuntukkan secara rasmi dalam perlembagaan parti politik supaya pelaksanaannya tidak terhenti pada peringkat aspirasi.
Beliau turut menyokong penetapan sasaran atau kuota tertentu, namun menegaskan bahawa langkah berkenaan perlu membuka peluang kepada calon berkelayakan tanpa mengetepikan prinsip merit.
“Kuota tidak seharusnya menggantikan merit, sebaliknya perlu menghapuskan halangan supaya wanita yang mempunyai kelayakan dan keupayaan diberikan peluang sama rata untuk memimpin,” katanya.
Doris turut merujuk Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) yang mengiktiraf langkah khas sementara, termasuk tindakan afirmatif, bagi mempercepat pencapaian kesaksamaan gender.
Katanya, Deklarasi Beijing 1995 dan kerangka tindakannya juga menggariskan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan.
Selain stereotaip gender, beliau mengenal pasti beban mengimbangi tanggungjawab keluarga, kerjaya dan politik, kekurangan latihan kepimpinan serta akses terhad kepada pembiayaan politik sebagai antara kekangan yang perlu ditangani.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan dana khusus diwujudkan bagi membantu calon wanita melalui pembiayaan kempen, program bimbingan dan pembangunan keupayaan.
Sementara itu, mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak ke-13, Doris berkata, jentera Wanita PRS sudah digerakkan sepenuhnya dan akan terus mempergiat aktiviti mendekati pengundi sehingga 12 Disember ini.
Doris berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu ketika musim monsun dijangka menjadi cabaran utama, terutama di kawasan luar bandar yang memerlukan perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot panjang.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa jentera akar umbi PRS bersedia membantu calon parti serta bekerjasama dengan komponen GPS sepanjang tempoh kempen.




