LUBOK ANTU: Potensi untuk Sarawak menjadi hab tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Tenggara amat cerah.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, dasar Kerajaan Sarawak dalam penghasilan tenaga boleh diperbaharui telah diakui Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan Sarawak mempunyai agenda besar untuk menghasilkan 10,000 megawatt (mW) bersamaan dengan 10 gigawatt (gW) tenaga elektrik menjelang 2030.
“Seterusnya mempunyai perancangan untuk menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 15,000 mW bersamaan dengan 15 gW menjelang 2035.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik (HEP) Batang Ai: 40 Tahun Menjana Tenaga Sarawak yang dirasmikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Jelasnya, lebih-lebih lagi Sarawak sudah mempunyai perancangan untuk membekalkan tenaga elektrik ke Singapura dengan kapasiti 1,000 mW.
“Selain kita mempunyai perjanjian dengan jiran (Sabah), untuk membekalkan Sabah dengan tenaga elektrik sebanyak 30 mW atau boleh ditambah kepada 50 hingga 80 mW bergantung kepada kestabilan grid di Sabah itu sendiri.
“Pada masa yang sama, kita telah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan sejak 2016, dan ini merupakan usaha yang boleh dikembangkan lagi pada masa akan datang supaya menjadi grid tenaga Borneo sebelum kita melangkah ke grid tenaga ASEAN.
“Ini bermakna peranan Sarawak melalui Sarawak Energy untuk menjadi ketua atau peneraju dalam menjadi hab di rantau ini adalah sesuatu yang tepat dan boleh dilaksanakan.
“Seterusnya, menjadikan agenda lain terutama Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak dapat dilaksanakan dengan jayanya,” tegasnya.


