KUCHING: Bekas Senator Datuk Zaiedi Suhaili mengangkat sumpah sebagai Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, sekali gus memberi jaminan untuk bekerjasama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Katanya, kerjasama antara semua pihak melibatkan pihak pengurusan tertinggi sehingga pegawai bawahan penting bagi memastikan tugas dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.
“Saya percaya kejayaan dalam sesebuah organisasi memerlukan usaha sama di setiap peringkat termasuk datuk bandar, timbalannya, ahli majlis, pegawai dan lain-lain.
“Selain, perlu berhubung erat dengan majlis perbandaran lain seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) untuk menjadikan Greater Kuching satu kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai majlis angkat sumpah Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan di bangunan MBKS di sini, hari ini.
Sebubungan itu, Zaiedi, 68, turut menekankan bahawa komunikasi adalah kunci kepada keberkesanan bukan sahaja dalam kalangan organisasi, tetapi terhadap masyarakat di luar sana.
“Komunikasi ini penting dalam menyampaikan sesuatu. Sekiranya berlaku salah pentafsiran, ia boleh menimbulkan masalah. Tetapi, dapat memberi kefahaman kepada masyarakat jika disampaikan dengan betul,” katanya ringkas.
Turut menyaksikan acara angkat sumpah itu Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.




