KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dicadangkan meneroka kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kalimantan bagi memperkukuh usaha menangani isu jerebu rentas sempadan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, pendekatan berasaskan hubungan antara bandar boleh menjadi platform tambahan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencegah pembakaran terbuka.
Kerjasama itu boleh diterokai dengan beberapa bandar di Kalimantan, termasuk Sambas, Singkawang dan Pontianak.
“Kita gunakan pendekatan secara berhemah dengan membina hubungan baik bersama pihak berkenaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan World Cleanup Day DBKU 2026 di Dewan Sepakat Jaya, Demak Laut, di sini, hari ini.
Kerjasama antara PBT boleh menjadi pendekatan tambahan kepada usaha sedia ada di peringkat ASEAN dalam menangani isu jerebu rentas sempadan.
Usaha itu juga boleh melibatkan PBT lain di Sarawak, termasuk Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta kawasan yang turut terkesan akibat jerebu seperti Serian.
Menurutnya, isu jerebu rentas sempadan merupakan cabaran berulang yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi mengurangkan kesannya terhadap masyarakat.
Usaha memperkukuh kerjasama di peringkat tempatan selari dengan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan mencegah pembakaran terbuka.





