KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya mempercepat proses kelulusan lesen perniagaan kritikal daripada 150 hari kepada 32 jam, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Platinum dalam Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026.
DBKU turut menerima Anugerah Emas atas kejayaan mempercepat kelulusan permit izin lalu (Single Crossing) daripada 14 hari kepada 16 jam.
Kedua-dua pengiktirafan disampaikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pada persidangan yang berlangsung di Selangor International Trade Centre (SITC), Selangor, baru-baru ini.

Pencapaian itu mencerminkan usaha DBKU menambah baik proses kerja bagi mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai dan komuniti perniagaan.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja memendekkan tempoh menunggu, malah memudahkan urusan pelanggan menerusi pengurusan permohonan yang lebih cekap dan responsif.
Kejayaan itu turut memperkukuh komitmen DBKU dalam melaksanakan reformasi penyampaian perkhidmatan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030).
DBKU dalam kenyataannya menghargai komitmen dan kerjasama seluruh warga kerjanya yang menjadi pemangkin kepada pelaksanaan inisiatif penambahbaikan berkenaan.
Pihaknya turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh budaya inovasi dan penambahbaikan berterusan bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan lebih cekap, mudah diakses serta memenuhi keperluan masyarakat.
Dalam pada itu, DBKU merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki atas sokongan dan dorongan dalam menjayakan agenda reformasi kerenah birokrasi di Sarawak.
Penghargaan turut diberikan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee serta Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) atas sokongan berterusan terhadap usaha berkenaan.




