KUCHING: Sindiket pengedaran dadah di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dikesan mula menjalin kerjasama dengan kegiatan perjudian dalam talian bagi meneruskan operasi mereka.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Hilmy Othman berkata, kedua-dua kegiatan itu saling berkait dan menyasarkan golongan belia serta pelajar sekolah menengah.
Menurutnya, DBKU memandang serius ancaman berkenaan dan terus mempergiat kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan itu, khususnya di kawasan kampung dan penempatan penduduk.
Usaha bersepadu dilaksanakan sejak tiga tahun lalu membuahkan hasil apabila beberapa lokasi dikenal pasti sebagai pusat kegiatan dadah berjaya ditangani.

Bagaimanapun, beliau berkata, sindiket terbabit terus mencari taktik baharu bagi mengelak tindakan penguatkuasaan dan meneruskan kegiatan haram mereka.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan Datu Merpati Jepang, di sini, hari ini.
Mengulas kegiatan perjudian dalam talian, DBKU telah mengadakan perbincangan dengan PDRM bagi menangani masalah berkenaan.
Katanya, beberapa premis yang terlibat dalam kegiatan itu di kawasan pentadbiran DBKU telah ditutup hasil kerjasama dengan pihak polis.
Beliau berharap kerjasama antara DBKU dengan AADK dapat dipertingkatkan bagi merealisasikan sasaran menjadikan kawasan pentadbiran DBKU bebas dadah.
Beliau turut mengesyorkan agar kerjasama melibatkan agensi kerajaan seperti AADK, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan PDRM diperkukuh, selain memperluas pelibatan masyarakat menerusi persatuan penduduk, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung serta komuniti Kejiranan Mesra.
“Sebagai sebuah bandar yang pesat membangun, kita perlu memastikan pembangunan turut disertai usaha menangani isu sosial demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
DBKU kini mempunyai 28 kumpulan Kejiranan Mesra (KJM) dan salah satu daripadanya telah menjadi rakan strategik AADK sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, berdasarkan maklumat AADK yang dilaporkan pada Mac 2026, kira-kira 190,000 individu terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta program rawatan dan pemulihan direkodkan sepanjang 2025.
Mengenai penganjuran JABD, Hilmy menghargai kerjasama AADK Negeri Sarawak dan Kerajaan Sarawak dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang atas kesudian menjadi tuan rumah.




