KUCHING: Kejohanan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Road Race Edisi Kedua pada tahun 2024 akan menampilkan lebih ramai pelumba berbakat dari seluruh Malaysia.
Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman mengesahkan perkara tersebut selepas mengambil kira sambutan memberangsangkan hasil penganjuran julung kali diadakan yang berlangsung, hari ini.
“Hasil pemerhatian terhadap penganjuran dilihat mencapai kejayaan walaupun julung kali diadakan. Jadi untuk edisi kedua, DBKU akan mendapatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ia akan melibatkan lebih ramai peserta dengan mengalu-alukan lebih ramai pelumba bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan majlis di pekarangan bangunan DBKU, Bukit Siol, hari ini.
Kejohanan julung kali itu menampilkan seramai 301 pelumba dari pelbagai negara bukan sahaja Malaysia, malah dari Brunei, Indonesia, Nigeria, Afrika Selatan dan United Kingdom.
Tegas Hilmy, acara terbabit merupakan wadah dalam memupuk budaya sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat, sekali gus memberi pendedahan berterusan kepada pencinta sukan berbasikal tempatan.
Pada masa sama katanya, sebagai usaha meningkatkan gaya hidup sihat masyarakat serta melahirkan pelumba muda berpotensi besar menceburi bidang tersebut sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat khususnya warga Sarawak dan Kuching untuk merebut peluang menyertai kejohanan dalam meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup serta memupuk modal insan.

