DBKU sediakan dua tapak bazar Ramadan

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan menyediakan tapak bazar Ramadan di Satok dan Semarak sempena Ramadan akan datang.

Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, proses pendaftaran dan jualan petak akan diadakan mulai jam 8.30 pagi pada 14 Mac ini di Auditorium DBKU, Bukit Siol, Jalan Samariang.

Menurutnya, sesi taklimat dan cabutan undi petak pula akan diadakan pada 28 Mac. Tapak Bazar Ramadan Satok jelasnya, menyediakan 94 petak jualan minuman, kuih-muih, lauk-pauk, makanan bergoreng, makanan plat (kebab, buger, roti canai dan sebagainya) dan panggang disediakan dengan kadar bayaran RM450 sehingga RM500 satu petak.

Manakala terdapat 72 petak jualan disediakan dengan kadar bayaran RM400 hingga RM450 untuk satu petak di tapak Bazar Ramadan Semarak, katanya.

“DBKU juga mengharapkan kerjasama agensi luar, swasta dan agensi bukan kerajaan (NGO) menyediakan tapak bazar Ramadan untuk orang awam.

“Setakat ini, DBKU telah menerima tiga permohonan daripada agensi luar antaranya Bazar Sukma Ria oleh e-Mart, Bazar Bandar Baru Semariang oleh Persatuan Bandar Baru Semariang dan Bazar Seni Jalan Haji Taha oleh Persatuan Rukun 13 dan Biro Ekonomi N8 Satok.

“Bagi agensi lain yang berminat mereka boleh membuat permohonan bertulis kepada DBKU bagi tujuan kelulusan pihak pengurusan,” katanya pada Sidang Media Khas Bersama Menteri Bertanggungjawab DBKU di pejabat DBKU di sini, semalam.

Beliau berkata, tempoh jualan bermula 1 Ramadan (24 April) hingga 30 Ramadan dan peniaga mesti menjaga kebersihan tapak, menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapatkan suntikan ‘typhoid’ dan memastikan makanan adalah selamat. Beliau turut menegaskan, peniaga dilarang menggunakan bekas makanan styrofoam atau polistrerin untuk menyimpan makanan. Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Junaidi Reduan dan Pengarah DBKU Dr Morshidi Ahmad.

Suara Sarawak