ARTIKEL

Roslan (tengah) bersama wakil Tourism Malaysia dan Star Media Group pada majlis perasmian acara berkenaan, hari ini.

SKCCM 2026 catat jualan RM3.5 juta, tarik 240,000 pengunjung

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Karnival Star Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2026 mencatat jualan RM3.5 juta dan menarik lebih 240,000 pengunjung sepanjang penganjurannya di lima lokasi terdahulu.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah berkata, pencapaian itu melebihi tiga kali ganda sasaran jualan awal RM1 juta, manakala jumlah pengunjung turut mengatasi sasaran 200,000 orang.

Kejayaan itu membuktikan keberkesanan SKCCM sebagai platform promosi pelancongan domestik yang merangsang perbelanjaan pengguna, selain membuka peluang kepada penggiat industri memperluas pasaran dan meningkatkan pendapatan.

“Pencapaian ini membuktikan potensi SKCCM sebagai platform promosi yang berkesan dalam merancakkan pelancongan domestik, menjana pendapatan kepada penggiat industri serta menggalakkan rakyat Malaysia meneroka destinasi pelancongan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada SKCCM 2026 Sarawak di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata, sambutan menggalakkan terhadap karnival itu turut memperlihatkan peranan pelancongan domestik sebagai pemacu ekonomi negara, khususnya menerusi perbelanjaan dalam sektor beli-belah, makanan dan minuman, pengangkutan serta penginapan.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah pelawat domestik di seluruh negara meningkat 5.6 peratus kepada 151.6 juta orang pada separuh pertama 2026 berbanding 143.5 juta orang dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Di Sarawak pula, jumlah pelawat domestik meningkat 15.8 peratus kepada 22.7 juta orang pada 2025 berbanding 19.6 juta orang pada 2024.

Peningkatan itu mencerminkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan keindahan alam semula jadi, khazanah geowarisan, kepelbagaian budaya serta keistimewaan makanan tradisional.

Dalam pada itu, SKCCM 2026 Sarawak yang berlangsung sehingga Ahad (1 November) menghimpunkan 37 reruai pameran yang menawarkan pelbagai pakej percutian, penginapan dan tarikan pelancongan dari seluruh negara.

Mohd Roslan berkata, tawaran pada harga berpatutan menjadi antara tarikan utama karnival itu, termasuk pakej percutian tiga hari dua malam ke Langkawi bermula RM299 serta penginapan hotel atau inap desa serendah RM100 semalam.

“Saya mengajak para pengunjung meneroka reruai pameran yang disediakan dan merebut peluang menikmati tawaran menarik bagi merancang percutian bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya.

BERITA LAIN

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk

BERITA TERBARU

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk