KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak membuka penyertaan bagi Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2026 bagi memperkasa budaya penulisan, penerbitan dan kreativiti pelajar sekolah menengah di negeri ini.
Program tersebut terbuka kepada semua sekolah menengah kebangsaan di seluruh Sarawak dan hanya majalah tahunan rasmi sekolah bagi tahun 2025 layak dipertimbangkan untuk penyertaan.
Menurut hebahan DBP Cawangan Sarawak, pertandingan ini menawarkan beberapa kategori utama iaitu Majalah Terbaik Keseluruhan, Majalah Terbaik Bahasa, Majalah Terbaik Penerbitan serta Hadiah Khas Juri.
Selain itu, kategori karya pelajar turut dipertandingkan merangkumi sajak, cerpen dan esei bagi menggalakkan bakat penulisan kreatif dalam kalangan generasi muda tersebut.
DBP Cawangan Sarawak dalam kenyataan memaklumkan program berkenaan selaras dengan usaha menyemarakkan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, selain memupuk minat membaca serta berkarya dalam kalangan generasi muda.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 22 Mei ini manakala maklumat lanjut boleh didapati menerusi pautan https://drive.google.com/file/d/1dDQLfiYb4I7MLo2CJPwM0AhdT-G5z5NZ/view?usp=drive_link
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Coretta Herliana Kura di talian 082-227039 atau Lily Joo di talian 082-227042.



