KUCHING: Filem Dear You bukan sekadar sebuah karya sinematik yang mengangkat kisah masyarakat Teochew, sebaliknya menjadi medium penting dalam menghargai sejarah penghijrahan, pengorbanan dan ketabahan generasi terdahulu yang sanggup meninggalkan tanah air demi membina kehidupan yang lebih baik.
Naib Presiden Persatuan Teochew Sim Clan Sarawak, Datuk Sim Kiang Chiok berkata, filem tersebut berjaya menyentuh hati penonton menerusi jalan cerita yang penuh emosi, tulus dan autentik sehingga mampu menghubungkan pengalaman generasi lama dengan masyarakat hari ini.

Menurutnya, beliau, yang merupakan generasi keempat masyarakat Teochew yang dilahirkan dan dibesarkan di Kuching, berkata filem itu menghidupkan kembali kisah-kisah yang pernah diceritakan oleh nenek dan ibu bapanya mengenai penghijrahan nenek moyang mereka dari wilayah Chaoshan di China ke Sarawak.
“Seperti ramai penonton lain, saya turut mengalirkan air mata ketika mengikuti jalan ceritanya.
“Walaupun saya sudah beberapa generasi jauh daripada pengalaman penghijrahan itu, kisah perpisahan, kesusahan, pengorbanan dan harapan yang dibawa oleh nenek moyang kami sentiasa menjadi sebahagian daripada warisan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kisah yang dipaparkan menerusi Dear You mengingatkan masyarakat terhadap keberanian dan ketabahan luar biasa yang menjadi kekuatan para perintis masyarakat Teochew ketika memulakan kehidupan di bumi asing.
Ujarnya, walaupun hubungan dengan kampung asal nenek moyangnya di China semakin jauh mengikut peredaran generasi, identiti sebagai anak Sarawak sentiasa menjadi kebanggaan utama.
“Sarawak ialah tanah air saya dan saya menganggap diri saya, pertama sekali dan selama-lamanya, sebagai anak Sarawak.
“Pada masa yang sama, saya tetap berbangga dengan warisan Teochew yang diwarisi daripada nenek moyang kerana nilai-nilai seperti ketabahan, ketaatan kepada ibu bapa, integriti dan sifat rajin terus menjadi pegangan keluarga kami sehingga hari ini,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Sim berkata filem tersebut turut membawa penonton mengimbau suatu zaman apabila hubungan kekeluargaan bergantung sepenuhnya kepada surat tulisan tangan yang mengambil masa berbulan-bulan untuk sampai kepada penerimanya.
Jelasnya, pengalaman menunggu khabar daripada insan tersayang mengajar generasi terdahulu tentang nilai kesabaran, ketabahan, kesyukuran dan kepercayaan, sesuatu yang sukar digantikan oleh teknologi moden walaupun komunikasi kini menjadi jauh lebih pantas.
Dalam pada itu, Sim berkata filem berkenaan turut membuka mata masyarakat mengenai sejarah penghijrahan masyarakat Cina ke luar negara serta pengorbanan besar yang dilakukan demi memastikan generasi seterusnya menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Saya amat bersyukur kerana nenek moyang saya memilih untuk membina kehidupan baharu di Sarawak.
“Keputusan mereka berhijrah telah menyelamatkan generasi selepas mereka daripada melalui pelbagai episod tragis dalam sejarah moden China, termasuk era pemerintahan panglima perang, pencerobohan Jepun, perang saudara, Revolusi Kebudayaan dan dasar seorang anak.
“Sebaliknya, kami berpeluang membesar dalam sebuah masyarakat yang aman, majmuk dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Ujarnya, walaupun corak penghijrahan telah berubah mengikut zaman, hakikatnya ramai anak Sarawak pada masa kini masih meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pengajian, membina kerjaya dan mencari peluang yang lebih baik di luar negara.
Tambah Sim, walaupun destinasi berubah, perasaan yang mengiringi penghijrahan itu tetap sama, iaitu kerinduan terhadap keluarga, pengorbanan dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Dear You sebagai sebuah karya yang mempunyai mesej sejagat kerana mengangkat nilai kemanusiaan yang merentasi kaum dan latar belakang.
“Filem ini mengingatkan kita supaya menghargai asal usul, memelihara warisan budaya, mengenang segala pengorbanan generasi terdahulu serta mewariskan nilai murni itu kepada generasi akan datang.
“Ia bukan sekadar filem mengenai masyarakat Teochew, malah sebuah karya yang wajar ditonton dan dihargai oleh setiap rakyat Sarawak tanpa mengira kaum atau latar belakang,” katanya.



