Degil dan langgar SOP, polis tutup jalan selepas diserbu kaki shopping

SIBU: Pihak polis terpaksa menutup Jalan Lembangan yang merupakan laluan utama pejalan kaki menuju ke Pasar Sentral Sibu berikutan dipenuhi orang ramai yang membeli-belah.

Perkara ini mendapat perhatian Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh ketika memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari ke-20 di sini, hari ini.

Beliau kecewa dengan sikap segelintir warga Sibu yang langsung tidak mengendahkan SOP seperti tiada apa-apa yang berlaku di Sibu.

“Setelah dimaklumkan, polis datang pada jam 9.30 pagi untuk mengawal pergerakan orang ramai serta pemantauan pematuhan SOP di jalan tersebut yang didapati terlalu sesak dengan kunjungan warga Sibu.

“Pihak polis juga menyekat jalan tersebut dari dikunjungi orang ramai apabila mendapati keadaan tidak dapat lagi dikawal.

“Saya amat kecewa melihat warga Sibu berduyun-duyun pergi membeli-belah seolah-olah tiada bahaya di kiri kanan mereka,” katanya sebentar tadi.

Ting menjelaskan semasa pemantauan itu, pihak polis mendapati banyak orang ramai yang melanggar SOP seperti tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Akibatnya, polis mengeluarkan sebanyak empat kompaun yang mengenakan denda sebanyak RM1,000.

“Itulah padahnya, kerana degil dan mengabaikan SOP,” ujar beliau.

Sementara itu, Ting berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah meminta kerjasama daripada MPS untuk membantu menyekat Jalan Lembangan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai dan mengarahkan penjual buah untuk mengeluarkan buah yang dijual diletakkan di ruang pejalan kaki bagi menghalang pergerakan orang ramai.

“Saya gembira PDRM mengambil tindakan tegas bagi mengawal penyebaran COVID-19 di bandar Sibu walaupun situasinya tidak menunjukkan tanda-tanda pulih.

“Sebenarnya, berdasarkan rekod atau statistik Kluster Pasai telah dibendung tetapi jangkitan baharu telah muncul di dalam kawasan bandar,” kata beliau.

Rentetan itu, Ting menyeru kepada semua penduduk agar tidak mengadaikan keselamatan nyawa mereka dengan mengambil ringan situasi COVID-19 di Sibu.

Suara Sarawak