LONDON: Delegasi Sarawak pimpinan Timbalan Premier merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan Awang Tengah berjaya lengkapkan misi pelaburan ke United Kingdom, mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan strategik dari 23 hingga 28 September lalu.
Ujar kenyataan, misi anjuran InvestSarawak bertujuan memperkukuh pelaburan langsung asing (FDI) dengan menarik minat syarikat multinasional (MNC) dan pelabur kewangan global dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan berteknologi tinggi.
Awang Tengah menegaskan, Sarawak kini muncul sebagai peneraju bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini dalam bidang hidrogen, sektor rendah karbon serta pelbagai industri mapan yang sedang digiatkan.
“Misi ini membina momentum yang dihasilkan melalui Sarawak Connects pada Mei lalu, sekali gus membuktikan Sarawak bukan sahaja menarik pelaburan tetapi juga memupuk kerjasama strategik untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
“Ia turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab neutral, inovatif dan berdaya saing di Asia Tenggara,” katanya.
Antara syarikat dan institusi kewangan terkemuka yang ditemui termasuklah Technip Energies, Standard Chartered UK, Vemi Capital, Global Interconnection Group serta Aurrigo.
“Perbincangan tertumpu kepada peluang pelaburan seperti pembuatan kabel dasar laut voltan tinggi bagi menyokong inisiatif ASEAN Power Grid.
“Sarawak fokus kepada pembuatan kenderaan autonomi, minyak dan gas lestari, serta teknologi tenaga rendah karbon.
Awang Tengah juga memberitahu bahawa respon daripada industri di UK amat memberangsangkan dan yakin bahawa rundingan tersebut bakal menjadi projek berimpak tinggi menguntungkan kedua-dua pihak.
“Sarawak turut menonjolkan kekuatan ekosistem perindustrian, kemampuan tenaga boleh diperbaharui dan komitmen terhadap kelestarian yang disokong dasar jelas serta progresif.
“Selain itu, polisi pendidikan yang progresif khususnya pemberian akses pendidikan percuma kepada rakyat dengan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut menambah daya tarikan Sarawak sebagai pusat pelaburan,” ujarnya.
Delegasi misi ini turut disertai Penasihat MINTRED, Datuk Seri Mohd Naroden Majais; Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak, Timothy Ong Wye Ern; Timbalan Setiausaha Tetap MINTRED, Lo Sheau Sia; serta Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datuk Abdullah.






