ARTIKEL

Kredit: FB Azalina Othman Said | Bernama

Delegasi Malaysia laksana kajian empirikal pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya di UK

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bersama delegasi Malaysia kini berada di London, United Kingdom (UK) untuk menjalankan kajian empirikal terhadap cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di negara itu.

Azalina berkata lawatan ini merupakan siri akhir kajian, selepas kunjungan ke Kanada dan Australia pada tahun lepas untuk mengkaji konsep yang diamalkan di negara-negara tersebut sebagai rujukan amalan terbaik dan mengenal pasti model yang sesuai untuk Malaysia.

“Kajian empirikal ini telah dimulakan dengan sesi perbincangan meja bulat anjuran bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), University College London dan Universiti Kebangsaan Malaysia bersama pakar-pakar perundangan dan ahli akademik yang memfokuskan kepada struktur dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang diamalkan di Malaysia dan UK.

“Sesi yang dikendalikan oleh Profesor Jeff King dari Fakulti Undang-Undang, University College London, disertai lebih daripada 30 peserta dari Malaysia dan UK,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azalina berkata delegasi turut mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara bagi England dan Wales, Lord Hermer KC, di pejabat beliau di Ministry of Justice.

Pertemuan itu memberikan penerangan terperinci mengenai sistem semasa di UK serta peranan dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Selain itu, delegasi turut diraikan dalam satu pertemuan bersama Speaker House of Commons (Dewan Rakyat) UK, Sir Lindsay Hoyle, sebagai lawatan balas selepas kunjungan beliau ke Parlimen Malaysia pada 19 Feb lepas.

Azalina berkata dalam pertemuan itu, mereka bertukar pandangan mengenai bidang utama reformasi Parlimen, termasuk peranan jawatankuasa pilihan dan sistem sokongan untuk meningkatkan fungsi Parlimen.

Delegasi juga mengadakan pertemuan bersama pihak Crown Prosecution Services (CPS) yang merupakan badan bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan pendakwaan kes jenayah di UK untuk membincangkan fungsi dan kuasa Pendakwa Raya serta hubungan Peguam Negara.

Selanjutnya, delegasi turut berkesempatan mengadakan perbincangan bersama pihak His Majesty’s Crown Prosecution Service Inspectorate (HMCPSI) selaku badan inspektorat yang menjalankan pemeriksaan berkala terhadap agensi-agensi pendakwaan yang berkenaan bagi tujuan semak dan imbang.

Azalina turut menyatakan bahawa Sekretariat Jawatankuasa Kajian Empirikal Pengasingan Kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya sedang menyediakan laporan akhir kajian yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dijangka dalam tahun ini.

“Kajian empirikal ini merupakan bukti jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda reformasi institusi bagi memastikan tadbir urus negara terus dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Ahli Parlimen Selayang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen William Leong Jee Keen; Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Majlis Dewan Negara Senator Rita Sarimah Patrick Insol; Ahli Parlimen Besut mewakili blok pembangkang Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong.

Turut serta dalam delegasi Malaysia itu ialah Peguam Cara II Negara Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab serta pegawai-pegawai kanan daripada BHEUU, JPM dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Selain pakar akademik, terdapat juga wakil daripada pertubuhan masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkepentingan antaranya Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM), Integriti, Governans dan Anti Rasuah (IGAR), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan  Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS). — Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha