KUCHING: Demi membeli lampin pakai buang dan tisu basah untuk bayi perempuannya berusia lebih satu bulan, seorang bapa bertindak di luar rasional dengan mencuri wang RM130 milik majikan dalam sebuah restoran Jepun, Isnin minggu lalu(13 November).
Bagaimanapun, kata orang matlamat tidak menghalalkan cara bapa berusia 27 tahun itu dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Dia bekerja sebagai tukang masak dengan pendapatan RM2,100 sebulan mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Majistret Mason Jaro Lenya Barayan memerintahkan tertuduh dipenjara satu bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah mencuri wang majikannya sebanyak RM130 dalam sebuah restoran Jepun di sebuah pusat beli belah terkemuka, Jalan Wan Alwi, sekitar jam 7 malam, 13 November lalu.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu menyedari dari kumpulan aplikasi Whatapps bahawa salah seorang pekerjanya (tertuduh) telah mengambil wang tersebut dari mesin juruwang.
Pengadu mengarahkan tertuduh membayar balik wang tersebut dalam tempoh 24 jam namun tertuduh gagal berbuat demikian.
Setelah tamat tempoh tersebut, pengadu seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 17 November lalu.



