ARTIKEL

TUTUP... Antara laluan yang akan ditutup pada 24 Oktober dan 2 November 2025.

Demi keselamatan, beberapa laluan utama pusat bandar ditutup semasa Regatta 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Beberapa laluan utama di pusat bandar akan ditutup sementara sempena Majlis Perasmian dan Majlis Penangguhan Sarawak Regatta 2025 pada 24 Oktober dan 2 November 2025 bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta keselamatan awam di kawasan sekitar.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, memaklumkan bahawa penutupan jalan akan dilaksanakan di beberapa lokasi berhampiran Tebingan Sungai Sarawak, tempat berlangsungnya acara utama regatta tahun ini.

“Antara jalan yang dikenal pasti akan ditutup sepanjang Majlis Perasmian Sarawak Regatta 2025 berlangsung ialah Jalan Gambier ke Jalan Main Bazaar serta Lebuh Wayang ke Jalan Main Bazaar pada 24 Oktober 2025, bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.

“Manakala, Lebuh Temple ke Lebuh Wayang, lampu isyarat St. Mary menghala ke Lebuh Wayang, serta susur dan lampu isyarat Jalan Pearl ke Jalan Wawasan akan ditutup dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang,” katanya dalam kenyataan itu.

Tambah Alexson, penutupan turut dilakukan semasa Majlis Penangguhan Sarawak Regatta 2025 pada 2 November 2025 yang membabitkan penutupan Jalan Gambier ke Jalan Main Bazaar serta Lebuh Wayang ke Jalan Main Bazaar, bermula jam 7 pagi hingga 6 petang.

Katanya lagi, Lebuh Temple ke Lebuh Wayang, lampu isyarat St. Mary menghala ke Lebuh Wayang, serta susur dan lampu isyarat Jalan Pearl ke Jalan Wawasan akan ditutup dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

“Penutupan ini dijalankan bagi memberi ruang kepada persiapan dan pelaksanaan majlis rasmi berkenaan.

“Pihak polis turut menasihati pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di sekitar kawasan pusat bandar Kuching.

“Dalam masa yang sama, orang ramai diingatkan supaya mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas di lokasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran aliran trafik terkawal,” katanya.

PDRM turut mengingatkan orang awam supaya tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan atau di kawasan yang boleh menghalang laluan kenderaan lain sepanjang tempoh penutupan tersebut.

Alexson berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada usaha memastikan majlis berjalan lancar serta keadaan trafik terkawal semasa perhimpunan besar-besaran pengunjung ke kawasan acara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU