ARTIKEL

Dennis ketika membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Dennis Ngau cadang kerajaan ambil alih operasi perpustakaan mini Long Latei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta mengambil alih pengurusan dan menanggung kos operasi perpustakaan komuniti mini di Kampung Penan, Long Latei, Telang Usan bagi memastikan kemudahan pendidikan itu terus beroperasi untuk manfaat masyarakat pedalaman.

ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau, berkata kekangan kewangan menyebabkan beliau tidak lagi mampu menanggung kos operasi perpustakaan berkenaan secara berterusan, khususnya bayaran elaun kepada sukarelawan yang menguruskannya.

“Kerajaan Sarawak menerusi kementerian berkaitan dan Perpustakaan Negeri Sarawak perlu mempertimbangkan peruntukan berterusan bagi membiayai gaji kakitangan, penyelenggaraan, bahan bacaan serta perbelanjaan operasi lain.

“Walaupun mahu perpustakaan mini ini terus beroperasi dalam jangka panjang, kekangan peruntukan menyebabkan saya tidak lagi mampu menanggung kos operasinya secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dennis berkata perpustakaan mini itu ditubuhkan menerusi inisiatif bersama beliau dan pihak pengurusan Perpustakaan Negeri Sarawak sebelum dirasmikan pada 24 Oktober 2020.

Jelasnya, terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Long Lama melalui jalan balak, perpustakaan itu diwujudkan bagi memudahkan akses kepada bahan bacaan dan sumber pendidikan, khususnya untuk kanak-kanak Penan serta penduduk kampung berhampiran.

“Perpustakaan berkenaan bukan sekadar tempat menyimpan buku, sebaliknya menjadi kemudahan penting untuk memupuk budaya membaca, menambah pengetahuan dan memperluas peluang pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak di kawasan pedalaman.

“Kita harus mengakui bahawa kanak-kanak di pedalaman berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar, meneroka ilmu dan mengembangkan potensi diri seperti kanak-kanak di kawasan bandar,” katanya lagi.

Dennis memberitahu, sumbangan sektor swasta dan individu setakat ini banyak membantu, namun sokongan berkenaan tidak boleh menjadi satu-satunya sumber pembiayaan bagi menjamin kelangsungan operasi perpustakaan itu.

Beliau mencadangkan supaya kementerian berkaitan dan Perpustakaan Negeri Sarawak menilai kemudahan sedia ada, keperluan kakitangan serta kos operasi bagi mengenal pasti kaedah pengurusan yang lebih sesuai dan mampan.

“Antara pilihan yang dicadangkan ialah pengurusan secara langsung oleh Perpustakaan Negeri Sarawak atau menerusi kerjasama dengan masyarakat setempat.

“Saya berharap perpustakaan ini dapat dilengkapi secara berperingkat dengan bahan bacaan tambahan, sumber pendidikan dan kemudahan pembelajaran digital, jika bersesuaian, bagi memenuhi keperluan generasi muda,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap perpustakaan komuniti mini Long Latei dapat dijadikan contoh untuk memperluas perkhidmatan perpustakaan ke kawasan luar bandar lain yang masih mempunyai akses terhad kepada kemudahan pendidikan.

“Saya percaya bahawa pelaburan dalam pendidikan merupakan pelaburan untuk masa depan rakyat,” tambahnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU