KUCHING: Sarawak mempunyai rangkaian kemudahan simpanan bekalan bencana yang strategik dan berskala besar sebagai persediaan awal menghadapi sebarang kemungkinan bencana. Ini menambah lapan depoh utama barangan keperluan bencana yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, antara kemudahan simpanan di negeri ini termasuk sebuah depoh di Limbang, depoh berskala besar di Kuching dan Kota Samarahan, serta beberapa mini depoh yang dioperasikan mengikut keperluan setempat.


Beliau menyatakan semua kemudahan tersebut telah berada dalam keadaan siap siaga dan berfungsi sebagai pusat sokongan logistik bagi memastikan bekalan asas dapat disalurkan tanpa lengah ke kawasan terjejas.
“Pangkalan hadapan memang telah disediakan lebih awal. Setiap bekalan keperluan mangsa banjir yang digunakan akan terus ditambah bagi memastikan kelancaran operasi tanpa sebarang kekurangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu bersama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah hari ini.
Ahli Parlimen Santubong itu berkata, pendekatan penambahan semula bekalan secara berterusan itu penting bagi menjamin keperluan asas mangsa bencana sentiasa mencukupi, terutamanya apabila PPS beroperasi untuk tempoh yang panjang.
Katanya, depoh dan mini depoh tersebut juga membolehkan JKM bertindak lebih pantas menyalurkan bantuan ke kawasan pedalaman dan lokasi berisiko terputus hubungan, khususnya semasa musim monsun.


Beliau menambah, JKM turut bersiap siaga dari segi sumber manusia dengan menyediakan pegawai dan kakitangan yang boleh digerakkan sepenuhnya, termasuk pasukan sokongan psikososial dan sukarelawan.
“Pada masa ini, kita mempunyai seramai 270 anggota Pasukan Sokongan Psikologi (Psychological Support Team – PST) serta 230 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membantu, khususnya dalam aktiviti bersama kanak-kanak di PPS termasuk peranan kaunselor,” jelasnya.
Katanya lagi, pendekatan itu penting bagi memastikan kesejahteraan emosi mangsa, terutamanya kanak-kanak, terpelihara sepanjang berada di PPS dan tidak berasa tertekan atau bosan.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan sebelum ini memaklumkan bahawa JKM mengendalikan lapan depoh simpanan barangan keperluan bencana yang ditempatkan secara strategik di seluruh negara bagi mempercepatkan pengagihan bantuan semasa kecemasan.
Menurut beliau, kemudahan simpanan tersebut masing-masing terletak di Bedong, Kedah; Muar, Johor; Sungai Buloh, Selangor; Marang, Terengganu; Kemumin, Pengkalan Chepa, Kelantan; Kuantan, Pahang; Kota Samarahan, Sarawak; serta Kota Kinabalu, Sabah.
“Selain depoh utama, JKM turut memperkukuh rangkaian logistiknya dengan menyediakan 11 stor peringkat negeri dan 119 stor daerah, di samping 65 mini depoh serta 562 pangkalan hadapan yang berperanan sebagai pusat sokongan awal ketika bencana berlaku,” katanya.

