ARTIKEL

Pembinaan fasa akhir Jambatan Batang Lupar yang dijangka dibuka Mei 2026 | Foto: JKR Sarawak

Detik Bersejarah Penyambungan Jambatan Batang Lupar 1

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Majlis Penyambungan (Stitching Ceremony) Jambatan Batang Lupar 1 berlangsung hari ini sebagai penanda fasa akhir pembinaan projek itu yang dijangka siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai pada Mei 2026.

Majlis bersejarah itu disempurnakan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo yang mewakili komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh jaringan perhubungan strategik negeri.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam kenyataannya memaklumkan jambatan kekal dua lorong sehala itu dibina mengikut Standard JKR R5. Jambatan sepanjang 4,884 meter merentasi Batang Lupar itu dilengkapi 87 pier sungai dan diangkat sebagai antara projek jambatan paling signifikan di negeri ini.

“Apabila siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang awam pada Mei 2026, Jambatan Batang Lupar 1 dijangka menjadi jambatan lintasan sungai terpanjang di Malaysia.

“Ia sekali gus muncul sebagai mercu tanda kejuruteraan dan simbol kemajuan Sarawak,” katanya.

Pembinaan jambatan ini bertujuan menggantikan perkhidmatan feri Batang Lupar sekaligus menyediakan laluan yang lebih selamat, cekap dan berterusan antara Sebuyau dengan Triso.

Laluan baharu itu juga dijangka meningkatkan kesalinghubungan bagi kawasan pesisir.

Selain itu, projek ini diunjurkan dapat merancakkan aktiviti ekonomi, pertanian dan pelancongan di kawasan terlibat seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi yang mampan di wilayah pesisir Sarawak.

JKR Sarawak menegaskan pihaknya akan terus komited memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut piawaian kualiti, keselamatan dan integriti tertinggi selaras dengan aspirasi membangunkan infrastruktur yang memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan masa depan negeri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU