ARTIKEL

Pengumuman tentang Istiadat menaikkan Bendera Ibu Pertiwi. FOTO: UKAS

Detik penuh makna di Dataran Pertiwi 10 Ogos ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Istiadat menaikkan Bendera Ibu Pertiwi yang menjadi simbol kebanggaan tanah air serta lambang perpaduan rakyat Sarawak akan diteruskan dengan penuh istiadat pada 10 Ogos ini di Dataran Pertiwi.

Majlis bulanan yang dijadual bermula jam 8 pagi itu akan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Bendera gergasi Ibu Pertiwi berukuran 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar bakal dikibarkan megah pada tiang setinggi 99.4 meter iaitu struktur tertinggi di bandar raya ini yang kini menjadi mercu tanda semangat jati diri warga Kuching yang tidak pernah luntur.

Menurut laporan UKAS, istiadat akan dimulakan dengan perbarisan Kawalan Kehormatan oleh anggota Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) disusuli dengan nyanyian lagu negeri Sarawak, Ibu Pertiwi.

“Acara bulanan ini bukan sahaja menjadi platform menzahirkan rasa cinta dan bangga terhadap negeri, malah mengukuhkan semangat perpaduan serta patriotisme dalam kalangan rakyat bandar raya,” kata DBKU menerusi kenyataan yang memetik laporan UKAS.

Menjelas lanjut, istiadat tersebut mula dilaksanakan sejak Julai 2024 selepas diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak atas dorongan berterusan beliau dalam menyemai nilai murni dalam kalangan rakyat.

“Tradisi ini akan terus diperkasa sebagai lambang keharmonian dan kebanggaan negeri,” jelas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, orang awam dijemput hadir memeriahkan istiadat bersejarah ini pada 10 Ogos nanti.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU