KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Negara melabuhkan tirainya semalam selepas bersidang selama 10 hari dengan meluluskan 12 Rang Undang-Undang (RUU).
Sepanjang persidangan yang bermula 20 Julai lalu, Dewan Negara turut membahaskan dua usul pada sesi Ucapan Penangguhan mengikut Peraturan Mesyuarat 16, iaitu mengenai ancaman platform e-dagang rentas sempadan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta cadangan kemudahan undi awal atau undi pos kepada anggota Polis Bantuan.
Antara RUU yang diluluskan ialah RUU Jenayah Siber 2026, RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026, RUU Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026, RUU Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, RUU Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026, RUU Kumpulan Wang Amanah Negara 2026, RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026, RUU Profesion Kerja Sosial 2026, RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2026 serta RUU Statistik 2026.
Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah berkata kepelbagaian pandangan senator daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran telah memperkukuh proses semak dan imbang serta penggubalan undang-undang dalam sistem demokrasi berparlimen negara.
Beliau turut menyeru semua pihak sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 agar memperbaharui iltizam mempertahankan kedaulatan negara, menjunjung Perlembagaan Persekutuan, mendaulatkan undang-undang dan memelihara perpaduan seperti dilapor Bernama.


