ARTIKEL

JPN jelaskan video menteri upacara perkahwinan sivil bukan isu baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan video Menteri Dalam Negeri mengupacarakan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang tular semula di media sosial bukan kejadian baharu, sebaliknya sebahagian pengisian sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.

Dalam hantaran di Facebook semalam, JPN memaklumkan isu itu sudah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Okt 2023 dan menegaskan rakaman lama yang dikitar semula tanpa konteks sebenar boleh menimbulkan persepsi mengelirukan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.

Susulan itu, jabatan tersebut menggesa orang ramai, khususnya pengguna media sosial, bersikap lebih bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan, tarikh dan konteks sesuatu rakaman sebelum menyebarkannya, selain menghentikan naratif mengelirukan tentang isu lama.

JPN turut menegaskan perbezaan pandangan tidak wajar dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat di luar konteks, manakala jabatan itu dipertanggungjawabkan mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan Islam di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).

Menurut JPN, penglibatan Menteri Dalam Negeri dalam pengupacaraan itu ialah sebahagian majlis rasmi jabatan pada 2023, dan jabatan itu turut berkongsi pandangan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan serta melampirkan kenyataan media bertarikh 25 Okt 2023 yang menyatakan pendaftaran dua pasangan di Pejabat JPN Putrajaya tidak melibatkan ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum seperti dilapor Bernama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU