Di perkampungan ini, rezeki tertulis
setelah melintasi garis sempadan
menelusuri peta Pan Borneo
landskap estetika menyuntik inspirasi
antara bukit dengan gunung harum
aku melintasi cabar
sambil menjinjing sabar.
Pada nukilan alam,
burung-burung kecil menyambut
di jalanan
memerhati bunga-bunga hutan
serta aroma padi tradisi
mekar semangat menjadi taman
dingin diusik semilir
dari hujung daun-daun pagi.
Di perhentian takdir ini,
akal mengasah harap
biar keringat halus ini
jatuh dan berbunga
menjadi pepohon seperti, rendangnya awan.
ANISSYIFA
Sri Aman
Januari 2026



