SIBURAN: Sarawak terus memperkukuh reputasinya sebagai negeri yang mengutamakan keharmonian antara agama apabila bantuan pembangunan dan penyelenggaraan rumah ibadat terus diagihkan tanpa mengira kepercayaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan), Datuk Dr Jerip Susil berkata, penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) adalah bukti nyata komitmen kerajaan negeri dalam mendukung prinsip keterangkuman serta perpaduan masyarakat majmuk di Bumi Kenyalang.
“Di Sarawak, kita tidak mengamalkan diskriminasi agama. Sebaliknya, setiap rumah ibadat – tidak kira gereja, kuil, tokong atau gurdwara – diiktiraf sebagai pusat komuniti dan layak menerima sokongan kerajaan.
“Contohnya, Tokong Chen Chin Tai Tee telah menerima RM250,000 bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan. Ini jelas membuktikan bahawa kita menghargai peranan institusi keagamaan sebagai nadi komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bazaar Makanan dan Pertandingan Karaoke anjuran Persatuan Chen Chin Tai Tee di sini, pada Rabu (9April).
Dr Jerip yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong turut menekankan bahawa rumah ibadat bukan sekadar tempat sembahyang, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat berkumpul, berbincang serta mengeratkan hubungan antara penduduk pelbagai latar belakang.
Beliau turut menyeru komuniti Siburan agar terus bersatu hati bersama kepimpinan setempat dalam merealisasikan hasrat menjadikan Siburan sebagai sebuah daerah penuh tidak lama lagi, seiring dengan pembangunan pesat yang sedang berlangsung.



