Dianggap jenayah jika elak bayar cukai jualan OMO

KUCHING: “Itu hak kami! Jika seseorang enggan membayarnya, itu merupakan satu jenayah (kerana ia dalam peruntukan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri).”

Itu ketegasan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berhubung pengenalan cukai jualan lima peratus oleh negeri ini terhadap pemain industri minyak dan gas seperti yang diperuntukkan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) Sarawak 1958.

Menurutnya, cukai lima peratus itu tidak banyak dan tidak membebankan.

“Justeru itu saya perlu panjangkan penghargaan saya kepada para pemain (industri) ini. Mereka telah mendaftar dengan kita dan membayar cukai jualan lima peratus. Terima kasih kepada mereka,” katanya ketika berucap merasmikan pejabat Pricewaterhouse Coopers (PwC) Malaysia Kuching di Wisma STA di sini, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan cukai jualan tersebut merupakan salah satu strategi Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan dan memperkukuh ekonominya.

Pada majlis tersebut, beliau turut menggariskan tiga kriteria utama yang diambil pertimbangan oleh Kerajaan GPS dalam memformulakan ekonomi negeri itu.

“Ini termasuk memantau (penjimatan) rizab, pelaburan strategik dan perbelanjaan kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata, ketiga-tiga faktor ini telah menyumbang kepada pendapatan Kerajaan Sarawak yang konsisten, malah mencipta surplus selama lima tahun berturut-turut.

Kerana itu tegasnya, Kerajaan Sarawak bertegas menggunakan pendapatan tersebut untuk membangunkan prasarananya yang sebelum ini terlalu jauh ketinggalan.

Dari segi tenaga elektrik amnya, Kerajaan Negeri telah membelanjakan wang untuk memperluaskan bekalan elektrik melalui pembinaan empangan-empangan termasuk mengambil alih Empangan Hidroelektrik Bakun.

“Dengan pemilikan utiliti berkenaan, Kerajaan Sarawak bukan sahaja menjana pendapatan daripada tarif yang dikenakan, malah dapat membekalkan elektrik kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Beliau menambah, Kerajaan Sarawak malah menyediakan dana yang besar untuk prasarana bekalan air di kawasan luar bandar, yang sangat diperlukan.

“Pada masa yang sama, kita juga komited kepada pembangunan jalan pesisir yang dijangka membuka peluang ekonomi kepada masyarakat di sepanjang laluan berkenaan.

Abang Johari berkata, meski peruntukan pembangunan ini menelan biaya yang besar, beliau beri jaminan bahawa Sarawak tidak akan muflis dalam tempoh tiga tahun.

“Malah mungkin kami mendapat lebih banyak wang melalui pelaburan ini dalam jangka masa panjang,” jelasnya,

Beliau berkata, dengan segala pendapatan yang diperoleh inilah Sarawak akan dibangunkan, manakala kehidupan dan ekonomi rakyat ditingkatkan.

“Dalam erti kata lain, apabila kami membelanjakan RM11 bilion dalam Bajet 2019, itu adalah daripada hasil yang diperolehi hampir RM11 bilion…biasanya kami mempunyai lebihan belanjawan,” tegasnya.

Justeru, beliau menempelak Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang secara membuta tuli menga- takan Sarawak bakal muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Walaupun berpolitik, (Guan Eng) tidak sewajarnya tampil dengan kenyataan sedemikian kerana ia bukan sahaja menjejaskan Sarawak malah ekonomi Malaysia.

“Kadang-kadang dalam berpolitik kena ada batasan juga. Tidak semuanya boleh dipolitikkan.

“Anda mesti bekerja berdasarkan apa yang anda rasa perlu lakukan untuk rakyat dan itulah yang Kerajaan GPS lakukan.

“GPS tidak terlalu banyak berpolitik, tetapi sebaliknya sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat dan mereka,” katanya.