KUCHING: Tidak putus harapan apabila diberhentikan kerja dari syarikat swasta, Hasheenabeevi Mohd Attaullah menghasilkan produk berasaskan rempah ratus yang diwarisi daripada ibunya.
Beliau yang berasal dari Sarikei membangunkan produk Rempah iNANA seperti pes dan serbuk rempah ratus. “Keluaran terbaharu saya adalah kiub laksa Sarawak yang mudah, ringan dan senang dimasak. Pengguna hanya perlu masukkan kiub dan santan ke dalam air yang mendidih sahaja,” katanya sambil memberitahu kiub laksa Sarawak berkenaan cukup sesuai digunakan pelajar dan pekerja yang sibuk.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Agro Bazar Online (ABO) yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama). Jelasnya, semua produknya dihasilkan buatan sendiri dan diyakini bermutu tinggi dan berkualiti.
“Saya menyertai Fama sejak tahun 2017, Fama membantu saya dalam pelbagai perkara seperti sampling, pembungkusan dan promosi. “Berkat ilmu yang dipelajari daripada ibu saya juga membangkitkan semangat saya selepas hilang punca pendapatan. Kini saya mampu meraih pendapatan yang sungguh lumayan,” ujarnya.
Katanya lagi, di awal perniagaan beliau bermula dengan menjual pes rempah ratus. “Apabila melihat produk serbuk rempah ratus di Sarawak kebanyakan diimport dari Semenanjung Malaysia, saya berfikir ini merupakan salah satu peluang yang besar.
“Oleh itu, saya membangunkan serbuk rempah ratus buatan sendiri dan tidak sangka ia sambutan amat menggalakkan,” katanya.
Justeru beliau menasihati anakanak muda yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya belajar daripada bawah. “Jangan malu untuk meminta bantuan daripada agensi-agensi kerajaan seperti Fama kerana khidmat mereka tidak akan merugikan.
“Malah, kini banyak peruntukan disediakan oleh kerajaan kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan,” katanya.