Diberkas polis keluar tanpa alasan munasabah

BAU: Tindakan dua lelaki keluar tanpa alasan munasabah menyebabkan mereka diberkas polis hasil pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Pasar Basah, Jalan Temenggong Salau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, kedua-dua suspek ditahan setelah kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki mereka ditahan sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Menurut beliau, kedua-dua suspek yang merupakan warga tempatan itu masing-masing berusia 28 dan 35 tahun.

TAHAN… kenderaan yang dinaiki oleh suspek ditahan oleh polis yang sedang membuat kawalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lokasi

“Hasil pemeriksaan awal telah menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza dinaiki oleh dua individu lelaki di kawasan pasar basah Jalan Temenggong Salau Bau.

“Suspek ketika ditahan gagal mengemukakan alasan munasabah mengapa mereka di lokasi semasa tempoh PKP dijalankan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, tambahnya, suspek ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Ujarnya, kedua-dua suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Bau untuk tindakan lanjut.