KUCHING: Akibat panas baran, seorang lelaki mendapat balasan apabila dijatuhi hukuman penjara tiga bulan atau denda RM2,500 oleh Majistret, hari ini.
Tertuduh Chong Kim Fook, 30, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah dihadapan Majistret Zubaidah Sharkawi atas kesalahan mengamuk sehingga menyebabkan sebuah premis makanan kerugian RM300.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan meja, kerusi dan barang-barang lain milik sebuah premis makanan di pusat beli belah Kenyalang Park di sini, kira-kira jam 1.30 pagi, 30 Oktober lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara satu tahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Menurut fakta kes, pengadu melaporkan seorang lelaki yang tidak dikenali telah berkelakuan agresif merosakkan barang-barang di sebuah premis makanan dengan memukul pintu kedai, menterbalikkan meja dan mengetuk tiang lampu di belakang kedai.
Salah seorang saksi kejadian sempat merakam video amukan tertuduh ketika merosakan tiang lampu di belakang kedai.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

