KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki 300 biji telur penyu.
Tertuduh Eznol Hafiz Azemi, 29, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Maris Agan.
Mengikut pertuduhan alternatif, dia bersama tertuduh kedua Jacklyn Dion, 27, yang merupakan pasangannya memiliki 300 biji telur penyu spesis chelonidae yang merupakan haiwan dilindungi sepenuhnya di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
Mereka didakwa memiliki telur penyu terbabit dalam sebuah kereta jenis kompak di hadapan sebuah hotel di Metrocity, Matang, kira-kira jam 4.10 petang, 27 Oktober 2022.
Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 29(1) (c) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Maris memerintahkan bon berkelakuan baik selama dua tahun bermula hari ini dengan jaminan RM3,000 (tanpa deposit) beserta seorang penjamin tempatan terhadap Jacklyn (tertuduh kedua) yang sedang mengandung mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.
Selain itu, Maris juga menjatuhkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Difahamkan, tertuduh telah membayar denda RM25,000 di kaunter mahkamah hari ini.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Roland Felix Hardin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.