KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak akan terus memberi penekanan ke arah perkhidmatan digital bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berkesan.
Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang memberi penekanan kepada ekonomi dan perkhidmatan digital.
“Justeru, di bawah iSarawakcare, kementerian kami bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan syarikat SOCOE Sdn Bhd menerusi projek selama dua tahun untuk mendigitalkan semua perkhidmatan utama kami di bawah satu platform.
“Perkhidmatan tersebut termasuklah bantuan ibu bersalin, Dana Endowment Sarawak untuk bayi baru lahir, permohonan dalam talian untuk pemberian geran usahawan wanita, kad emas kenyalang (KGC) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Dialog Digital: Mengubah Penyampaian Perkhidmatan Awam dalam Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang diadakan secara maya. Kata Fatimah, bidang utama kementeriannya dalam perjalanan digital ialah menggunakan lima objektif utama iaitu perkhidmatan berpusat kepada masyarakat, perkhidmatan secara maya, penglibatan agensi lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), membina tenaga kerja yang berkualiti dan keputusan berdasarkan data sebagai asas.
Sementara itu, katanya, dengan menekankan usaha ke arah pendigitalan, kementeriannya juga akan melancarkan aplikasi mudah alih KGC dan BIB pada tahun ini.
“Aplikasi mudah alih berkenaan akan menyediakan aplikasi dalam talian, pemeriksaan status dan banyak lagi namun, kaedah pelancaran berkenaan akan dilaksanakan fasa demi fasa untuk membolehkan sistem yang dinamik,” jelasnya.
Mengulas mengenai program yang dilaksanakan selama dua hari ini, beliau berkata, program ini untuk memupuk kolaborasi dan membina kepercayaan antara pihak berkepentingan dari pelbagai peringkat umur, NGO, kebajikan, warga emas, mereka yang profesional dan pemimpin dari pelbagai komuniti.
“Mendengari pendapat setiap orang di pelbagai segmen masyarakat, kita dapat memperoleh maklumat yang komprehensif bagi membina platform digital yang memberi manfaat kepada bantuan kesejahteraan sosial (iSarawakCare) di bawah kementerian kami,” katanya.
Ujar Fatimah, apabila aplikasi iSarawakCare dapat digunakan, ia dapat membantu kementerian untuk mewujudkan asas yang lebih kuat untuk tenaga kerja yang dinamik.