ARTIKEL

Mohamad Fajrul dan Siti Hajar merakam gambar kenangan ketika majlis doa selamat dan cukur jambul cahaya mata pertamanya.

Dihina Mandul, Kini Bergelar Ibu: Rezeki Tidak Pernah Salah Alamat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM diam, pasangan yang mengimpikan kehadiran zuriat terus memeluk harapan yang tidak pernah padam meskipun hati sering terluka dengan kata-kata yang tidak bersempadan. Penantian itu bukan sekadar soal masa, sebaliknya perjuangan emosi yang panjang, digelar mandul, disoal bertubi-tubi dan dipandang seolah-olah kegagalan memiliki anak merupakan kesalahan yang perlu dijelaskan kepada dunia.

Namun tahun ini, segalanya berubah. Kelahiran cahaya mata yang sekian lama dinanti akhirnya memecah kesunyian, mengubah air mata kesabaran menjadi tangisan syukur yang tidak terucap. Kehadiran si kecil bukan sahaja menyempurnakan sebuah keluarga, malah memulihkan luka lama serta memberi makna baharu kepada sebuah penantian yang pernah terasa begitu sepi.

Bagi pasangan suami isteri, Mohamad Fajrul Wahap dan Siti Hajar Taial, kedua-duanya berusia 31 tahun, perjalanan untuk bergelar ibu bapa bukanlah satu laluan yang singkat. Sejak mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2018, pasangan itu merancang untuk mendapatkan zuriat, namun penantian yang dilalui mengambil masa selama tujuh tahun.

Sepanjang tempoh tersebut, Siti Hajar mengakui cabaran paling sukar ialah tekanan emosi apabila melihat rakan-rakan yang berkahwin lebih lewat daripadanya hamil terlebih dahulu, malah ada yang sudah dikurniakan dua hingga tiga cahaya mata.

Katanya, bergelar ibu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga merupakan kenangan paling indah dalam hidupnya kerana meskipun penantian itu panjang, dia dan suami tidak pernah berputus asa.

“Saya dan suami yakin dengan rezeki daripada Allah SWT. Kami juga berpegang kepada prinsip, jika sudah rezeki, tidak akan ke mana. Kami sangat bersyukur akhirnya dikurniakan cahaya mata yang diberi nama Hana Ameena Mohamad Fajrul yang lahir pada 29 April 2025.

“Namun, tidak dinafikan kami juga pernah diuji dengan kata-kata menghina daripada seorang warga emas di kampung yang melabelkan saya sebagai mandul. Peristiwa itu menjadi detik paling menyeksa emosi dan titik terendah dalam hidup saya sehingga saya menangis mengenangkan nasib diri,” katanya.

Siti Hajar menatap wajah puteri sulungnya dengan penuh kasih sayang.

Tambahnya, sejak peristiwa itu, dia menyedari sokongan suami, keluarga serta rakan-rakan yang positif amat penting dalam membina kekuatan diri dan mengekalkan kestabilan emosi.

“Saya sangat berterima kasih kepada suami kerana dia sentiasa menyokong setiap usaha yang saya lakukan, sama ada rawatan tradisional atau mengambil suplemen untuk ikhtiar hamil. Malah dia sanggup memaksa saya menelan makanan tambahan itu walaupun saya bukan jenis yang gemar makan ubat.

“Antara ikhtiar kami termasuk berurut dengan individu berpengalaman untuk membetulkan kedudukan rahim, mengambil buah zuriat yang dibeli oleh rakan semasa menunaikan ibadah umrah di Mekah, mencuba suplemen ikhtiar hamil yang tular serta menjalani rawatan Permanian Intrauterin (IUI) di hospital,” ujarnya.

Mengenang kembali detik mengetahui dirinya hamil pada 31 Ogos 2024, Siti Hajar berkata pada pagi tersebut, dia ditemani suami menjalani ujian kehamilan selepas mengamalkan suplemen yang disarankan oleh seorang rakan yang turut melalui pengalaman sama dan berjaya hamil.

“Selepas sebulan mengambil suplemen itu, saya menyedari kitaran haid lewat selama seminggu. Suami kemudian membeli alat ujian kehamilan (UPT) untuk saya periksa. Selepas 15 minit, terpapar ‘2–3 minggu’ pada UPT tersebut.

“Apabila melihat keputusan itu, kami sangat gembira sehingga tidak mampu berkata-kata dan sukar mempercayainya. Saya kemudian melakukan satu lagi ujian menggunakan UPT yang berbeza dan alhamdulillah keputusannya tetap positif. Keluarga juga sangat gembira, lebih-lebih lagi kerana ini merupakan cucu pertama buat ibu dan bapa saya,” jelasnya.

Hana Ameena Mohamad Fajrul yang lahir pada 29 April 2025.

Sepanjang tempoh kehamilan, Siti Hajar memilih untuk merahsiakan berita itu daripada rakan-rakannya sehingga ke penghujung kehamilan kerana ingin membuat kejutan.

“Saya menjaga rahsia sebaik mungkin dan tidak memuat naik sebarang gambar di laman sosial. Apabila mereka mengetahuinya, rakan-rakan turut berkongsi kegembiraan dengan kehadiran ‘anak buah’ dan bersedia memberi duit raya pada tahun hadapan,” katanya berseloroh.

Mengulas makna kelahiran anak sulungnya, Siti Hajar menyifatkan tahun 2025 sebagai anugerah yang tidak ternilai daripada Allah SWT buat dirinya dan suami selepas melalui penantian selama tujuh tahun.

“Saya mendoakan agar pasangan yang masih berjuang mendapatkan zuriat terus tabah dan bersabar menghadapi ujian ini. Kita semua insan yang kuat dan mampu melaluinya. Semoga doa yang dipanjatkan selama ini dimakbulkan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Sementara itu, Maria Kasmah Mohammad, 25, turut berkongsi pengalaman hampir serupa apabila melalui perjalanan mendapatkan zuriat bersama suaminya, Khairul Anwar Ibrahim selepas berkahwin pada 25 Januari 2020.

Menurut Maria, pada awal perkahwinan mereka tidak terlalu memikirkan soal anak kerana memberi keutamaan kepada kestabilan komitmen hidup. Namun, tekanan mula dirasai apabila soalan demi soalan berkaitan kehadiran zuriat mula diajukan oleh orang sekeliling, sekali gus mendorong mereka berusaha dengan lebih serius.

“Selepas berkahwin, kami berserah kepada rezeki sahaja. Jika ada rezeki hamil awal, kami terima. Namun ketika itu kami belum terlalu memikirkan soal anak kerana komitmen dan kestabilan ekonomi.

“Bagaimanapun, apabila orang mula bertanya tentang anak, barulah saya dan suami berikhtiar untuk mendapatkan zuriat,” katanya.

Maria Kasmah merakam gambar kenangan bersama suaminya, Khairul Anwar Ibrahim sambil mendukung anak mereka, Nur Medina Amanda.

Mengulas cabaran paling sukar, Maria berkata detik paling mencabar ialah apabila usaha demi usaha tidak membuahkan hasil, sekali gus memberi kesan besar terhadap emosinya.

“Saya pernah hampir berputus asa kerana kerap membuat ujian kehamilan dan semua keputusannya negatif. Setiap kali itu juga saya berasa sangat sedih.

“Tekanan sosial turut memberi kesan mendalam apabila soalan berkaitan kehamilan diajukan secara terbuka di hadapan orang ramai sehingga menimbulkan rasa tertekan dan kecewa. Ada juga yang mengatakan saya sakit atau mandul sedangkan saya dan suami turut berusaha,” tegasnya.

Dalam menghadapi ujian tersebut, Maria memaklumkan suaminya menjadi sumber kekuatan utama dengan sentiasa bersikap tenang, sabar dan positif.

“Suami sering menenangkan saya dan mengingatkan bahawa meskipun kami belum dikurniakan cahaya mata, Allah SWT masih memberi rezeki lain kepada kami berdua.

“Itulah yang menjadi penguat semangat dan prinsip hidup saya agar tidak berputus asa serta terus berikhtiar,” jelasnya.

Pasangan itu turut melakukan pelbagai usaha termasuk berurut, mengambil jamu tradisional serta mengamalkan probiotik kranberi bersama jus delima yang menjadi titik perubahan kepada usaha mereka.

“Alhamdulillah, dengan ikhtiar tersebut saya akhirnya berjaya hamil. Kami sangat gembira dan perasaan itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Begitu juga keluarga yang turut berkongsi kegembiraan,” katanya yang kini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Medina Amanda Khairul Anwar yang dilahirkan pada 14 Februari 2025.

Mengulas makna kehadiran anak dalam hidupnya, Maria mengakui selepas lima tahun penantian, dia masih tidak menyangka kini sudah bergelar ibu, satu perasaan yang disifatkannya sebagai kegembiraan yang tidak terungkap dengan kata-kata.

Mengakhiri perkongsian, Maria menitipkan pesanan kepada pasangan yang masih berjuang mendapatkan zuriat agar terus kuat dan tidak mudah tertekan dengan kata-kata orang sekeliling.

“Ingatlah selagi ada rahim, kita masih berpeluang mendapatkan zuriat. Teruskan usaha dan jangan hiraukan kata-kata orang di sekeliling agar emosi sentiasa stabil,” katanya sambil mendoakan pasangan yang sedang mencuba turut dikurniakan rezeki anak.

Nur Medina Amanda yang lahir pada 14 Februari 2025.

BERITA LAIN

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya

BERITA TERBARU

Jalan Seduku–Lingga diancam hakisan

KUCHING: Jalan utama sepanjang 31.3 kilometer dari Kampung Agropolitan Seduku ke Pekan Lingga berdepan ancaman hakisan tebing Sungai Batang Lupar, terutama di KM4.2 yang jaraknya