Dilarang keluar rumah, anak belasah bapa dengan paip getah

SIBU: Seorang anak tergamak membelasah bapanya sendiri setelah dia ditegur kerana cuba menimbulkan kekacauan di sebuah kuarters pekerja di Durin dekat sini, Selasa lepas.

Suspek dikatakan memukul bapanya dengan hos getah paip dan difahamkan telah mengamuk.

Ketua Polis Daerah, Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa berusia 59 tahun dikatakan telah menegur suspek untuk tidak keluar rumah dan mengganggu pekerja kilang yang lain sekitar jam 10 pagi itu.

“Tindakan mangsa mengakibatkan suspek yang berusia 32 tahun tiba-tiba mengamuk dan memukul mangsa di bahagian belakang, bahagian dada kiri, serta lengan sebelah kiri dan kanan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Jelasnya, pengadu yang bimbang akan keselamatan diri, keluarga serta pekerja lain terancam kemudian membuat laporan polis.

Stanley berkata, hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian merupakan kawasan rumah pekerja kilang dan pengadu bersama keluarga termasuk suspek tinggal bersama di situ.

Katanya, suspek yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik telah berkahwin dan mempunyai dua anak dan tidak bekerja.

“Suspek telah tinggal dengan pengadu sejak sebulan yang lalu dikatakan pernah mengugut ingin memukul ibunya, ” jelasnya lagi.

Menurut Stanley, suspek ditangkap pada hari sama dan barang kes iaitu hos getah paip juga telah dirampas.

Katanya, suspek telah direman dan akan menjalani ujian air kencing.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada individu lain”tambahnya.

ANAK DURJANA…Suspek ditahan kerana mencederakan bapanya sendiri.

Suara Sarawak