KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan memukul ayahnya menggunakan sebatang kayu dan batang besi hingga menyebabkan cedera parah.
Tertuduh Philip, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan apabila melakukan kesalahan sengaja mencederakan bapanya berusia 74 tahun menggunakan sebatang kayu dan batang besi.
Dia melakukan perbuatan terbabit di kediaman mereka di Kampung Serumah Gayu, Jalan Padawan, kira-kira jam 4 petang, 10 Januari tahun lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Berdasarkan fakta kes, mangsa telah membuat laporan polis mendakwa dirinya telah dipukul oleh anaknya menggunakan sebatang kayu dan batang besi hingga menyebabkan cedera parah.
Mangsa telah mengalami kecederaan di lengan kiri, dahi dan kaki kiri.
Difahamkan, tertuduh yang dalam keadaan mabuk berang kerana sering dimarahi bapanya apabila sering mengambil minuman keras.
Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

