KUCHING: Gara-gara mencuri tiga helai baju dalam wanita yang berharga RM79.90 sehelai, seorang wanita berusia 58 tahun dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Audrey May V Sebastian dari Tabuan Jaya mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri tiga pasang baju dalam wanita di sebuah kedai pakaian terkemuka, pusat beli-belah, Jalan Persiaran, kira-kira jam 3.30 petang, 28 April lalu.
Syarifah Fatimah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu sekiranya gagal menjelaskan denda.
Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu merupakan pekerja kedai menyedari seorang wanita masuk ke dalam premis terbabit lalu mencuri tiga pasang baju dalam wanita.
Anggaran kerugian yang dialami premis terbabit sebanyak RM239.70.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada hari yang sama di premis terbabit sekitar jam 4.16 petang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






