MIRI: Dua lelaki tempatan ditahan polis kira-kira tiga jam selepas kehilangan kabel tembaga telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) sepanjang 150 meter dikesan di Jalan Kuala Baram By Pass, semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kehilangan kabel itu dikesan kira-kira jam 9 pagi selepas seorang juruteknik TM diarahkan menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kabel tembaga milik syarikat telekomunikasi itu telah dipotong sepanjang kira-kira 150 meter.
“Bagaimanapun, jumlah kerugian akibat kejadian itu masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan.
Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menjalankan risikan bagi mengesan individu yang disyaki terbabit.
Hasil risikan membawa kepada pelaksanaan Op Lusuh di sebuah premis di Lot 4065, Lorong 5-1, Kuala Baram Land District, kira-kira jam 12.20 tengah hari pada hari sama.
“Dalam operasi itu, polis menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 34 dan 32 tahun yang disyaki terbabit dalam kes kecurian kabel berkenaan,” katanya.
Pemeriksaan di premis itu turut membawa kepada rampasan sebuah beg hitam yang mengandungi bungkusan plastik berisi tembaga dipercayai milik TM.
Polis turut merampas sebilah parang tanpa hulu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
“Kesemua barang rampasan dijadikan bahan bukti bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya dan Kanun Keseksaan.
Mohd Farhan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya, polis sedang melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam kegiatan jenayah, khususnya kecurian harta benda awam atau milik syarikat yang boleh menjejaskan kepentingan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Miri menerusi talian 085-432533 atau hadir ke balai polis berhampiran.






