ARTIKEL

Leonard (tengah) dikucup penuh kasih sayang oleh bapa, Justin dan ibunya, Mendong Brandi selepas menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 Sidang Ketiga di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.

Disiplin, Sokongan Keluarga, Bijak Bergaul: Tip Cemerlang Penerima Anugerah Naib Canselor UiTM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Langkah kejayaan anak muda dari Kanowit membuktikan disiplin diri, sokongan keluarga dan bijak memilih pergaulan menjadi tunjang utama dalam membina kecemerlangan akademik sepanjang menempuh cabaran sebagai pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Penerima Anugerah Naib Canselor (ANC), Leonard Manggoi Justin, 23, yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian) dari Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, membuktikan bahawa minat serta komitmen mampu membawa pelajar mencapai kejayaan.

Leonard bangga selepas menerima ANC.

Menceritakan perjalanan akademiknya, Leonard memberitahu sebelum menyambung pengajian dalam bidang sains sukan, dia mengikuti program asasi Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Pusat Asasi UiTM Dengkil, Selangor.

“Kerana minat dalam bidang sains sukan, apabila berpeluang menyambung ke peringkat ijazah sarjana muda saya memohon bidang ini dan berjaya mendapat tawaran.

“Syukur, saya sudah menamatkan pengajian dan menerima anugerah. Selain ANC, saya juga amat terharu apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Graduan Terbaik Khas Yayasan Sarawak (Sarjana Muda) semalam (16 Disember),” katanya ketika ditemui selepas menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 Sidang Ketiga di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan, hari ini.

Mengulas rahsia kejayaannya, Leonard menekankan kepentingan mengenali had kemampuan diri agar tidak terjerumus dalam tekanan melampau.

“Bagi saya kita tidak boleh terlalu memaksa diri. Jika berasa tertekan atau sudah mencapai had, berhenti seketika dan lakukan hobi yang disukai, asalkan kita pandai membahagi masa tiada masalah.

“Faktor persekitaran terutamanya rakan sebaya turut memainkan peranan penting dalam membentuk momentum pembelajaran. Saya bertuah kerana dikelilingi rakan-rakan yang baik dan saling menyokong,” ujarnya.

Menjelas lanjut, Leonard memberitahu dia bukan seorang yang dapat belajar seorang diri dan lebih gemar belajar secara berkumpulan.

Anak bongsu daripada empat beradik ini memaklumkan, kesemua adik-beradiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi.

“Saya, abang dan kakak sudah berjaya menggenggam ijazah sarjana muda dan seorang lagi masih menyambung pengajian di peringkat yang sama.

“Pencapaian abang dan kakak sebelum ini juga menjadi inspirasi saya untuk terus meraih kejayaan yang cemerlang,” katanya lagi.

Sementara, ketika ditanya berkaitan kerjaya, Leonard memberitahu sebelum ini dia sempat menabur bakti sebagai guru ganti di SK Nanga Poi, Kanowit bagi menggantikan guru yang cuti bersalin.

Mengenai masa depannya, dia menyerahkan segalanya kepada rezeki, namun mempunyai impian yang jelas untuk terus memajukan diri dalam bidang kepakarannya.

Dalam pada itu, bapa Leonard, Justin John, menyifatkan kejayaan anak bongsunya itu sebagai hasil daripada sikap peribadi Leonard yang sememangnya minat belajar serta pandai mengimbangi gaya hidup.

Menurut Justin, di rumah, Leonard dikenali sebagai seorang yang rajin belajar, namun tetap mempunyai hobi tersendiri seperti bermain permainan video (e-sukan).

Justin yang juga bekas guru besar di sekolah rendah itu turut berkongsi bahawa kecemerlangan anaknya bukan terhad kepada akademik semata-mata, walaupun Leonard berjaya mengekalkan rekod anugerah dekan pada setiap semester.

“Leonard juga aktif dalam aktiviti luar termasuk khidmat sukarelawan dan bersosial dalam lingkungan yang positif. Sebagai bapa, saya bangga kerana dia seimbang dari segi akademik dan kepimpinan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU