CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam yang dimuat naik menerusi platform media sosial Facebook.
Kandungan berkenaan berkait dengan penggunaan perkataan “lighad”, yang merujuk kepada Surah al-Hashr, ayat 18, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri pada 9 Oktober 2026.
Menurut MCMC dalam kenyataan semalam, kandungan tersebut didakwa mempersendakan ayat suci al-Quran sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, MCMC mengambil rakaman percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan.
Sebuah telefon bimbit berserta eSIM turut disita untuk pemeriksaan forensik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama,” tegas MCMC dalam kenyataan itu.



