Ditangkap serang pemandu dengan kayu besbol

PADAWAN: Seorang lelaki tempatan ditangkap polis akibat menyerang seorang pemandu dan memukul cermin kereta mangsa menggunakan kayu besbol di hadapan sebuah bengkel di Jalan Arang, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, kejadian dipercayai berpunca setelah mangsa memandu perlahan di lorong kanan jalan dari Jalan Arang menuju ke arah Batu Kawa sekitar jam 11.42 pagi.

Susulan menerima laporan itu, katanya, suspek, 37, berjaya ditahan di hadapan sebuah kediaman di Jalan Batu Kawa sekitar jam 3.51 petang.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek merupakan adik kepada pemilik kenderaan yang dipandunya ketika kejadian.

“Ketika disiasat, dia(suspek) mengaku memandu kereta milik abangnya dan memukul cermin sisi kanan kereta mangsa dengan menggunakan kayu besbol kerana marah dengan cara pemanduan mangsa yang sangat perlahan,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dedahnya, mangsa ketika kejadian hanya berada di dalam kereta setelah dihampiri suspek sambil membawa sebatang kayu besbol dan terus memarahi mangsa sebelum bertindak memukul cermin kereta tersebut.

Tambahnya, kejadian turut dirakam oleh kamera yang dipasang pada kereta mangsa.

Sementara itu, ujarnya, suspek akan direman pada 18 Ogos 2020 untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atau 427 Kanun Keseksaan.

Suara Sarawak