KOTA SAMARAHAN: Graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Nur Hanis Fakhrul Nizam, 23, mendahului carta tertinggi penerima anugerah cemerlang dengan merangkul Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada sidang pertama Majlis Konvokesyen Ke-29 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman (DeTAR), hari ini.
Penerima Anugerah Kepujian Dekan sebanyak tujuh kali menjadi rekod terbaiknya di samping pernah merangkul Anugerah Emas dan Anugerah Projek Terbaik untuk Sistem Inovasi Projek Kaunseling Trek lab pada Ekspo Caunselovation 2025.
“Sebenarnya tiada petua rahsia melainkan berkat doa daripada ibu dan ayah dan semua orang memandangkan saya merupakan anak sulung dan berasal jauh dari Pahang datang ke Sarawak untuk menimba ilmu,”katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Shaashita Ramarau yang mengambil Program Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian turut dinobatkan selaku pemenang Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang).

Penerima Anugerah Kepujian Dekan sebanyak enam kali itu mendedahkan persekitaran yang baik ditambah dengan sokongan moral terhadap diri sendiri menjadi kekuatan utama dirinya untuk melangkah lebih jauh.
“Jika kamu bertanya siapa yang patut untuk menerima kredit penganugerahan ini, saya merasakan bahawa saya patut berterima kasih kepada diri sendiri kerana pada penghujungnya kita kena sentiasa menyokong diri sendiri.
“Saya sentiasa berfikiran positif. Ini sangat penting bahawa secara emosi, mental dan fizikal kehidupan di universiti adalah mencabar dan saya anggap ia sebagai satu bentuk ujian kepada diri sendiri.
“Kita patut bangun melawan diri sendiri demi melakukan sesuatu dengan terbaik dan melakukan setiap ujian yang diberikan dengan penuh dedikasi. Selain itu, prinsip yang saya selalu tekankan adalah ingin melakukan sesuatu yang luar biasa,”katanya.




