ARTIKEL

Dokumentari Aspirasi Hidupkan Semula Perjalanan Tun Wan Junaidi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rakyat Sarawak kini berpeluang menelusuri perjalanan hidup Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar melalui dokumentari khas Aspirasi yang boleh ditonton mulai jam 4.30 petang tadi di platform Facebook dan YouTube rasmi Astana Negeri.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Sri Syed Hamzah Syed Paie berkata, dokumentari ini lebih daripada sekadar catatan sejarah kerana ia menyingkap nilai ketabahan, pengorbanan dan dedikasi seorang anak Sarawak dalam membina dan memimpin negeri.

“Selama 24 tahun berkhidmat bersama Tun Wan Junaidi, saya sendiri telah melihat banyak perkara yang menjadi kekuatan beliau, termasuk ketekunan luar biasa dalam melaksanakan tugas serta daya ingatan yang sangat kuat.

“Tun bekerja dengan tekad. Selagi sesuatu itu belum dicapai, Tun tidak berhenti berusaha. Beliau dapat mengingati setiap perkara penting, termasuk peristiwa harian, sejarah negara, malah nama individu yang pernah berinteraksi dengannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Video Dokumentari Khas Aspirasi yang telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah di sini hari ini.

Tambah Syed Hamzah, kelebihan tersebut memberi nilai besar kepada kepimpinan Tun sekali gus menjadikannya khazanah negeri yang perlu dihargai.

Perjalanan hidup Tun Wan Junaidi bermula dari detik awal perjuangan sehingga mencapai puncak kepimpinan kini dihidupkan semula melalui dokumentari ini.

Berdurasi 11 minit 52 saat, dokumentari berkenaan menggabungkan penceritaan dramatik, visual arkib dan lakonan semula untuk menonjolkan detik penting dalam kehidupan Tun Wan Junaidi.

Watak beliau dipersembahkan pada pelbagai peringkat usia, termasuk Zill Qayim sebagai kanak-kanak, Awang Surnia Fizul sebagai remaja dan Tony Eusof sebagai Tun Wan Junaidi pada usia kini.

Penggunaan visual dramatik dan naratif mendalam memberikan penonton pengalaman menyelami perjalanan hidup seorang pemimpin yang penuh inspirasi.

Selain menjadi rakaman sejarah yang bernilai, Aspirasi TYT turut berperanan sebagai sumber inspirasi dengan mengangkat semangat perjuangan dan kepimpinan anak Sarawak.

Dokumentari ini diharapkan mampu memupuk rasa kebanggaan rakyat terhadap sejarah dan kepimpinan negeri sambil menekankan pentingnya nilai dedikasi dan ketabahan dalam membentuk generasi masa depan.

Hadir sama, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS) Datuk Hamdan Sharbini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Tribune dan Suara Sarawak, Datuk Dr Jeniri Amir dan Penolong Pengarah FINAS Cawangan Sarawak, Mohd Haziq Mirza Othman.

KENANGAN…Fatimah (tengah) merakam gambar bersama-sama Hamzah dan kenamaan lain yang hadir. FOTO: Mohd Alif Noni

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Ratusan rakyat Indonesia gempur kerajaan

JAKARTA: Ratusan rakyat Indonesia berkumpul di tengah Jakarta pada Rabu bagi membantah kesukaran ekonomi, rasuah dan cara kerajaan mengendalikan kebakaran hutan teruk yang menyebabkan jerebu

Yusuf Mahardika Lawan Rasa Takut

Mengakui dirinya penakut, pelakon Indonesia, Yusuf Mahardika, terpaksa berfikir dua kali sebelum menerima tawaran membintangi filem seram Rambut Sewu: Satu Langkah Geth. Namun, demi mencabar