ARTIKEL

GAMBAR FAIL… Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) bersama-sama Timbalannya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada sidang media di Dewan Undangan Negeri, Mei lalu. Foto Ghazali Bujang

Dongeng krisis PBB perkukuh politik Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

IA bukan kali pertama. Juga bukan kali kedua. Tetapi untuk kesekian kalinya portal berita Free Malaysian Today (FMT) benar-benar meletakkan Sarawak dan Premiernya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam radar serangan mereka.

Kali ini serangannya memilih untuk “mendedahkan” perpecahan yang kononnya berlaku dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) — parti yang dianggap paling utuh dan stabil dalam  Kerajaan Perpaduan. Isunya, adakah “pendedahan” itu benar?

Betulkah berlaku “protes dan saingan senyap” dalam parti itu yang didalangi Timbalan Presidennya, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan terhadap Presiden parti, Abang Johari?

Hakikat yang jelas, mana-mana wartawan yang menulis sensasi seperti ini, pasti akan mengutip sumber rahsia. Atau mungkin sahaja ia sumber ciptaan, dengan agenda tersembunyi. Atau atas arahan pihak tertentu.

Mengenali kedua-dua pemimpin ini secara rapat, perkara ini jelas dusta, sebagai cubaan untuk melaga, menyabung dan memecahbelahkan kedua-duanya.

Ia cuba memberi bayangan bahawa parti PBB kini sedang bertelagah, dan berhadapan dengan krisis kepimpinan, ketika ekonominya berada di puncak dan politiknya tenang.

Untuk mendalami isu ini, penulis menggunakan segala sumber yang ada, untuk menyemak dan mengabsah, biarpun sekelumit akan isu ini.

Jawapannya … tiada. Mereka yang menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PBB beberapa bulan lalu sudah pasti memahami mesej, bila sebenarnya Abang Johari akan berundur.

Juga memahami hasratnya untuk melunaskan semua perancangan pembangunan yang dibina sebelum ini — yang lengkap menjelang tahun 2030, sebelum memikirkan hala tuju politik seterusnya.

Malah dalam beberapa waktu kebelakangan ini, secara terbuka Abang Johari menyampaikan indikasi bahawa beliau tidak akan selamalamanya memerintah.

Sudah pasti beliau menyediakan pemimpin pelapis dan mahu mereka dipersiapkan untuk mengambil alih pemerintahan dalam tempoh terdekat ini.

Berdasarkan alasan tersebut, amat jelas beliau yang kini berusia 75 tahun tidak memilih untuk berada lama di singgahsana. Justeru tidak timbul isu bahawa beliau akan “bersaing kuasa” dengan timbalannya, sedangkan kedua-duanya kini saling erat melaksanakan tanggungjawab.

Pada era Abdul Taib menjadi Ketua Menteri, mereka adalah pesaing, bersama-sama dua lagi nama iaitu Pehin Sri Adenan Satem dan Tan Sri Effendi Norwawi.

Malah ketika itu, bukan rahsia apabila ada yang dilabel sebagai orang Tan Sri Adenan Satem atau Awang Tengah, manakala individu lain sebagai orang Abang Johari.

Sejak Adenan memerintah, semua gelar-menggelar ini sudah terbenam.

Semua pihak yang berfragmen tadi menjadi satu pasukan, yang dikenali sebagai “Tim Adenan”. Dan ketika Abang Johari menggalas tugas sejak 2017 selepas kematian Adenan, fenomena ini terus menjadi ikutan.

“Tim Abang Jo” menggambarkan semua pihak bersatu hati, bergerak sederap sebagai satu pasukan. Justeru tiada saingan berlaku kerana semua pihak fokus untuk memaju dan memakmurkan Sarawak.

Jika timbul elemen politiking melampau, Sarawak tidak akan maju seperti hari ini, termasuk menjadi gergasi ekonomi, lapan tahun lebih awal.

Kerana itulah juga Abang Johari tidak menamakan siapa potensi penggantinya — kerana beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Di bawah sana, pasti ada ahli politik muda yang mungkin tidak matang, dan terikut-ikut gaya ahli politik di negeri lain untuk meletakkan diri sebagai pemimpin masa depan, merapati mereka yang berpotensi menjadi ketua.

Justeru mereka memilih membentuk “puak” — elemen yang menghancurkan beberapa parti nasional dan gergasi sebelum ini.

Dalam politik PBB, Abang Johari telah memberi amaran bahawa inilah antara punca parti gergasi seperti parti Kongres di India dan parti LDP di Jepun tersungkur.

Justeru beliau pastikan ia tidak berulang.

Tiada puak dan tiada “ring leader” dalam PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam konteks penulisan FMT, daripada gaya ia dipersembahkan, serta isu dimainkan sejak tahun lalu, ia dipercayai diorkestra oleh pihak tertentu.

Mungkin sesiapa sahaja dan kita tidak boleh menolak pelbagai andaian.

Ia mungkin “derap pertama” sebagai menguji pasaran, sementelahan Abang Johari telah bercakap tentang persediaan membentuk pengganti.

Namun “menyabung” Abang Johari dan Awang Tengah adalah tindakan menghasut yang cuba memberitahu rakyat bahawa parti itu berpecah dan timbul syak wasangka antara keduadua pemimpin ini.

Sumber penulis juga banyak, dan mereka boleh mengesahkan kedua-dua mereka ini tidak berada dalam status yang diinginkan FMT.

Awang Tengah tahu siapa dirinya, dan bagaimana membawa dirinya sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Premier Sarawak.

Beliau merupakan individu yang dibawa masuk ke dalam PBB oleh Abang Johari, dan beliau jugalah yang mencadangkan Abang Johari sebagai Presiden baharu PBB, menggantikan Adenan ketika mesyuarat kaukus berlangsung di hadapan dan di kediaman Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketika ini beliau melaksanakan dengan baik tugas dan tanggungjawabnya, dan seperti yang kerap kali diulangnya, “gembira dan bersyukur, kerana tidak menyangka dirinya berada dalam kedudukan seperti ini (sebagai Timbalan Premier Sarawak), sesuatu yang tidak pernah dimimpikan.”

Justeru beliau sudah pasti tidak akan melayan sebarang gerakan seperti ini, malah akan menjadi benteng kukuh mempertahankan Abang Johari, atas prinsipnya yang “setia kepada ketua.”

Jika benar beliau membina pengikut, itu bukan petanda beliau ingin mencabar Abang Johari, kerana Awang Tengah dikenali sebagai seorang yang senang dirapati, mesra dan terbuka.

Oleh yang demikian, mauduk persaingan senyap yang diangkat FMT ini mungkin sahaja satu ilusi dan “market testing” oleh pihak tertentu. Sekali lagi, isunya siapa?

Adakah orang di dalam PBB sendiri? Atau individu daripada parti politik yang menguasai dan memiliki FMT. FMT merupakan portal berita yang dimiliki dan dioperasi oleh FMT Media Sdn Bhd; dan ia dikuasai oleh Media Prima Sdn. Bhd.

Jika dilihat isu yang dibangkitkan sebelum ini, seakan ada “arahan” untuk Sarawak dan pemimpinnya diserang kerana kelantangannya menuntut haknya dalam Perjanjian Malaysia 1963, isu pemilikan minyak dan gas, dan juga tentang “pengaruh besar” Abang Johari dalam setiap rundingan dengan Putrajaya.

Justeru dengan mencipta onar dan ribut buatan seperti ini, mereka berharap dapat menjadikan rakyat Sarawak skeptikal terhadap Abang Johari dan seluruh pentaasub dari negeri lain membenci Sarawak.

Benar, seperti kata Abang Johari, ia semuanya bermula dengan cemburu.

Justeru apa lagi selepas ini?

Selepas cerita hak minyak dan gas, adakah mereka akan mempersoal harta Kerajaan Sarawak, atau merekayasa projek dibolot Abang Johari?

Tuduhan rasuah dan pecah amanah? Hubungan buruk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Atau serangan terhadap “orang kanan” Abang Johari atau parti PBB? FMT atau mana-mana media boleh menulis, mengkritik atau memfitnah apa-apa sahaja, tetapi yang pasti semakin mereka mencipta “ceritacerita dongeng kebencian, sensasi dan tidak benar seperti ini”, semakin itulah seluruh rakyat Sarawak akan bersatu di belakang Abang Johari.

Sarawak semakin kuat, dan dalam konteks hari ini, semakin bersatu membina dirinya.

Benar, hanya orang Sarawak yang dapat “intu Sarawak”

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak

BERITA LAIN

Pemain bintang dunia warnai bola sepak S’wak

KEHADIRAN bekas bintang kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid, Asier Illarramendi, bersama kelab Hong Kong, Kitchee SC ke Kuching cukup mengujakan ribuan peminat bola sepak di

Menyelamat ingatan, menjejak ilmu dan sejarah

SEJARAH bukan sekadar kisah masa lalu. Ia adalah bukti tentang siapa kita, bagaimana keputusan dibuat dan mengapa sesuatu peristiwa berlaku. Namun, sejarah boleh hilang apabila

BERITA TERBARU