KUCHING: Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) mengalu-alukan inisiatif baharu Kerajaan Sarawak dengan meminda Seksyen 6 Kanun Tanah, 1958 yang akan memanfaatkan penanam-penanam kelapa sawit di negeri ini.
Justeru, Presiden DOPPA Napoleon R Ningkos berkata pihaknya sedia membantu ke arah pengukuran segera tanah hak adat bumiputera (NCR) ahli-ahlinya, yang telah disahkan dan dikeluarkan hak milik individu di bawah Seksyen 18.
Dengan itu, katanya DOPPA mencadangkan agar Jabatan Tanah dan Survei (JTS) membenarkan juruukur tanah persendirian berdaftar kerajaan untuk menjadi juruukur bagi tanah NCR yang telah disahkan dengan tanaman kelapa sawit atau tanaman kontan lain.
“Kos dan perbelanjaan untuk melibatkan juruukur tanah berdaftar swasta ini akan ditanggung oleh ahli DOPPA.
“Mengenai mekanisme pelaksanaan inisiatif DOPPA ini, Exco DOPPA sedia menghulurkan bantuan kepada JTS atau mana-mana agensi kerajaan yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan.
Napoleon berkata, pemilihak hak milik tanah DOPPA sememangnya sangat penting, terutama berkenaan kawasan tanaman dengan kelapa sawit atau tanaman kontan lain.
“Sebagai contoh, hak milik diperlukan untuk tujuan sekuriti pembiayaan bank, lesen MPOB, pensijilan MSPO dan permohonan Permit Kelulusan (AP) pekerja asing,” katanya.
Menjelas lanjut, beliau berkata baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan mengumumkan inisiatif/geran penanaman semula kelapa sawit yang mungkin juga memerlukan hak milik.
Pada masa sama, katanya beberapa tahun lalu, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah (MFicord) melalui pusat sehentinya telah memulakan program untuk ahli DOPPA boleh memohon melalui kementerian untuk pengesahan status NCR bagi tanah tanaman mereka.
“Beberapa ahli dapat mengesahkan tanah mereka, yang sememangnya bermanfaat untuk pelesenan MPOB, pensijilan MSPO dan permohonan AP pekerja asing tetapi malangnya, kurang daripada 10 peratus pemohon telah mengesahkan tanah mereka,” katanya.



