KUCHING: Persatuan Pekebun Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) menuntut penstrukturan semula segera Skim Insentif Tanam Semula Kelapa Sawit (TSPKS 2.0) bagi tanah hak adat bumiputera (NCR) di Sarawak.
Presiden DOPPA Dr Napoleon R Ningkos berkata, kadar kelulusan yang amat rendah bagi geran padanan insentif tanam semula untuk tanah NCR membangkitkan kebimbangan serius.
Katanya dengan kadar kelulusan hanya 19 peratus iaitu sekitar 35 hektar daripada 265 hektar permohonan oleh 78 pemohon berbanding kadar kelulusan 60 peratus bagi tanah yang mempunyai geran rasmi, pembaharuan segera amat diperlukan.
“Punca utama ketidakseimbangan ini adalah ketiadaan dokumen pemilikan yang sah serta proses pengesahan tanah NCR yang berlarutan, sekali gus mewujudkan halangan besar dalam mencapai objektif insentif tersebut dan berpotensi menjejaskan hasil pengeluaran kelapa sawit Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, beliau berkata memandangkan Sarawak mempunyai kawasan penanaman kelapa sawit terbesar oleh pekebun kecil bebas di Malaysia iaitu kira-kira 246,000 hektar, DOPPA menggesa Kementerian Perladangan dan Komoditi agar memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu-isu tersebut.
“DOPPA menggesa Kementerian Perladangan dan Komoditi supaya mempermudah kriteria kelulusan bagi insentif tanam semula TSPKS 2.0.
“Polisi geran padanan sedia ada sebanyak RM18,000 sehektar, yang diselaraskan bersama dengan AgroBank, dilihat tidak praktikal bagi tanah NCR di Sarawak,” katanya.
Napoleon menambah DOPPA mencadangkan alternatif iaitu pemberian insentif secara terus sebanyak RM9,000 sehektar daripada Kementerian Perladangan dan Komoditi kepada mana-mana pekebun kecil bebas di Sarawak yang melaksanakan penanaman semula atas inisiatif sendiri, selepas pengesahan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Pembaharuan ini akan memberi sokongan penting kepada pekebun kecil NCR serta mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan keperluan sedia ada yang mewajibkan dokumentasi rasmi status tanah NCR sebagai syarat bantuan dilihat tidak adil oleh ramai pekebun kecil di Sarawak.
Menurutnya, proses pengesahan tanah yang panjang dan memerlukan kos tinggi memburukkan keadaan.
“Memandangkan sumbangan besar pekebun kecil kepada ekonomi negara dan kewangan Sarawak melalui kutipan ses MPOB, cukai serta Cukai Jualan Negeri (SST), wajar kerajaan negeri dan Persekutuan memberikan bantuan yang sewajarnya tanpa mengira status pemilikan tanah,” katanya.
Sehubungan itu, Napoleon berkata DOPPA merayu agar Kementerian Perladangan dan Komoditi mempertimbangkan cadangan berkenaan dengan serius.
Katanya sokongan kepada pekebun kecil bebas di Sarawak bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan mereka, malah turut memacu produktiviti dan kelestarian industri kelapa sawit Malaysia.



