ARTIKEL

DPMM, RichWorks laksana program bantu usahawan pertingkat potensi perniagaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan RichWorks International Sdn Bhd pada Selasa menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan program bimbingan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mempertingkatkan potensi perniagaan.

Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata MoU tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 ahli DPMM serta usahawan lain.

Beliau berkata DPMM bersama RichWorks komited untuk membimbing usahawan PKS dan ahli DPMM supaya menjadi lebih dinamis dan mampu berkembang dalam bidang yang mereka ceburi.

“DPMM merasakan sampai masanya kita bersama-sama turun ke bawah (pergi ke lapangan), berjumpa ahli dan usahawan, mengenal pasti usahawan yang mempunyai masalah, memerlukan bantuan atau mereka yang telah berjaya untuk menjadi lebih berjaya.

“(Melalui MoU) kita merangka program untuk membimbing usahawan termasuk program mentor menti supaya usahawan Melayu boleh meningkatkan prestasi perniagaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara DPMM dan RichWorks di sini.

Norsyahrin turut mengesa kerajaan supaya melaksanakan kembali Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana sistem percukaian itu telah membantu meningkatkan ekonomi Malaysia. 

Kebanyakan usahawan tidak bersetuju dengan pengenalan semula GST namun DPMM berpendapat sistem itu adalah satu rejim cukai yang paling efisien, katanya.

“Bagi DPMM, kerajaan harus meneliti sistem cukai GST dan memperkenalkan semula cukai berkenaan bagi menampung pendapatan negara sekali gus membantu meningkatkan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi RichWorks, Datuk Dr Azizan Osman berkata RichWorks selaku syarikat latihan dan bimbingan keusahawanan akan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membantu usahawan terutama dalam bidang penjenamaan, pemasaran, kepimpinan dan kewangan.

“Usahawan Melayu ada masalah dengan pinjaman bank dan faktor utamanya adalah tiada profil syarikat dan itu antara kriteria penting untuk mereka layak mendapatkan pinjaman. Kami akan cuba bantu,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi PKS di negara ini, beliau berkata polikrisis (krisis yang berlaku serentak pada masa sama) telah dan sedang menekan ramai usahawan sehingga mengakibatkan jualan merundum dan penutupan perniagaan.

Beliau berkata usahawan perlu sedar cabaran dihadapi adalah lebih besar kerana banyak faktor antaranya disrupsi teknologi, liberalisasi perdagangan dan peningkatan kos input perniagaan serta kos buruh.

“Ini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah dan sedang berlaku berpanjangan seperti dibincangkan dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland pada Januari lepas.

“Oleh itu, usahawan ketika ini tiada pilihan lain sebaliknya perlu meningkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka berpanjangan,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Perodua pamer prototaip EV pertama di Malaysia Autoshow 2024

SERDANG, Selangor: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengorak langkah dalam pembangunan teknologi elektriknya dengan memperkenalkan prototaip kenderaan elektrik (EV) pertamanya, Myvi Conversion. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk

BERITA TERBARU

Polis siasat wanita dakwa diri Imam Mahdi

KUANTAN, Pahang: Polis sedang menyiasat seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi seperti tular di media sosial sejak semalam. Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan