ARTIKEL

Dr Ashari bergambar bersama lukisan istimewa beliau iaitu sebuah potret Abang Johari.

Dr Ashari Hamdan abadikan potret Premier Sarawak dalam karya seni

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Premier sangat istimewa dalam hati rakyat Sarawak. Bagi pelukis Dr Ashari Hamdan, penghargaan itu diterjemahkan menerusi sebuah karya istimewa iaitu sebuah potret Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dilukis dengan penuh penghayatan.

Mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan, karya berkenaan bukan untuk dijual, sebaliknya disimpan sebagai koleksi peribadi oleh Dr Ashari sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan terhadap Premier Sarawak.

Bagi pelukis berusia 69 tahun itu, menghasilkan potret tokoh bukan sekadar meniru wajah pada kanvas, tetapi memerlukan penelitian terhadap karakter, ekspresi dan keperibadian individu yang dilukis.

Lebih menggembirakan beliau apabila karya tersebut berpeluang dilihat sendiri oleh Premier Sarawak, sekali gus menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang perjalanan beliau sebagai pelukis.

“Saya tidak berhasrat menjual lukisan ini; saya mahu menyimpannya sebagai koleksi peribadi kerana bagi saya, ini merupakan karya yang istimewa,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak di Pameran dan Jualan Karya Lukisan Chroma Merdeka di Pustaka Negeri Sarawak baru-baru ini.

Karya berkenaan turut memperlihatkan pendekatan realisme yang menjadi antara asas penting dalam perjalanan seni Dr Ashari sejak beliau mula memberikan tumpuan kepada bidang seni lukis sekitar tahun 1973 ketika berada di Tingkatan Tiga.

Minat yang bermula sejak bangku sekolah itu akhirnya membawa beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Gunaan dan Kreatif di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada tahun 1995 sebelum menamatkan pengajian pada tahun 1999.

Namun, perjalanan hidupnya terlebih dahulu dipenuhi pengalaman sebagai pendidik apabila beliau pernah berkhidmat sebagai guru besar di beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Rendah Tupong dan Sekolah Empila, Kota Samarahan.

Pelibatannya dalam Persatuan Kebudayaan di Jabatan Pendidikan kemudiannya membuka ruang untuk beliau kembali ke Kuching dan mendalami bidang seni dengan lebih serius.

Selepas menamatkan pengajian, Dr Ashari kembali ke dunia pendidikan dan berkhidmat di SMK Batu Lintang sebelum berpindah ke Sekolah Seni Malaysia sekitar tahun 2005 sebagai guru Seni Visual.

Pada tahun 2013, beliau berpindah ke Sekolah Menengah St. Mary, Kuching, sebelum bersara daripada perkhidmatan perguruan pada tahun 2017.

Persaraan bagaimanapun tidak pernah memisahkan beliau daripada dunia seni.

Sebaliknya, masa yang ada selepas bersara digunakan sepenuhnya untuk berkarya sehingga akhirnya beliau membuka Galeri Ashat di Jalan Semariang, berhampiran Semariang Centre.

Walaupun terletak di tingkat dua, galeri tersebut tetap diuruskan beliau sendiri setiap hari kerana dianggap sebagai rumah keduanya iaitu tempat beliau berkarya, bertemu peminat seni dan berkongsi pengalaman dengan generasi muda.

Malah, Galeri Ashat kini turut menjadi ruang pembelajaran apabila menempatkan enam pelajar praktikal yang berpeluang melihat sendiri proses penghasilan karya serta memahami pengurusan sebuah galeri seni.

Bagi Dr Ashari, kehadiran pelajar berkenaan bukan sekadar membantu operasi galeri, malah mewujudkan pertukaran ilmu antara generasi.

Beliau percaya seni perlu dipelajari melalui pengalaman, pemerhatian dan keberanian mencuba, termasuk meneroka bahan serta teknik yang tidak semestinya konvensional.

Selain realisme, Dr Ashari turut meneroka pendekatan Ekspresionisme Abstrak, selepas berasa perlu keluar daripada gaya yang sama setelah sekian lama menghasilkan karya realistik.

Penerokaan itu turut disokong oleh pengajiannya di peringkat doktor falsafah dalam bidang berkaitan seni visual, khususnya evolusi seni catan.

Antara eksperimen menarik beliau ialah penggunaan pewarna makanan sebagai bahan dalam penghasilan karya.

Menurutnya, bahan yang mudah diperoleh itu boleh membuka ruang kepada pelajar, khususnya kanak-kanak, untuk bermain dengan warna dan meneroka kreativiti tanpa terlalu terikat kepada kaedah konvensional.

“Pada saya, setiap kanak-kanak sebenarnya mempunyai jiwa seorang artis; sebelum mereka belajar menulis A, B dan C, mereka sudah membuat garisan dan contengan di atas kertas,” katanya.

“Semua orang boleh menjadi artis, tetapi cabarannya ialah bagaimana kita membimbing dan mengembangkan mereka,” tambahnya.

Dalam perkembangan teknologi masa kini, Dr Ashari turut melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai satu alat yang boleh dimanfaatkan dalam dunia seni, bukannya sesuatu yang perlu ditakuti.

Bagaimanapun, beliau percaya karya yang dihasilkan secara manual tetap mempunyai keistimewaan kerana proses melukis dengan tangan membawa bersama jiwa, emosi, pengalaman dan penghayatan seseorang pelukis.

Bagi beliau, teknologi dan seni konvensional boleh bergerak seiring sekiranya AI digunakan sebagai alat bantuan tanpa menghilangkan sentuhan manusia yang menjadi nilai penting sesebuah karya.

Sepanjang perjalanan seninya, Dr Ashari telah menghasilkan lebih 30 karya yang pernah dipamerkan, manakala koleksi keseluruhan di Galeri Ashat mencecah sekitar 1,359 karya asal yang masih belum dipamerkan kepada umum.

Selain potret Premier Sarawak, antara karya yang pernah mencuri perhatian ialah “Premier on Ride” yang berjaya dijual pada harga RM21,000.

Beliau turut menggunakan seni sebagai medium untuk mengangkat sejarah dan warisan masyarakat Sarawak, termasuk budaya Iban, Kenyah, Kayan dan Melayu.

Menerusi tema “Kroma Merdeka”, beliau menggunakan permainan warna untuk menggambarkan perjalanan sebelum kemerdekaan hingga kepada kehidupan selepas merdeka, selain mengetengahkan tokoh, budaya dan kehidupan masyarakat.

Dalam pada itu, warisan keringkam juga menjadi antara perkara yang dekat dengan hatinya kerana Dr Ashari membesar di Kampung Tupong, Kuching, yang suatu ketika dahulu mempunyai kegiatan menghasilkan keringkam.

Kenangan melihat wanita tua menghasilkan keringkam ketika zaman kanak-kanak serta kewujudan alat membuat keringkam di rumah keluarganya menjadi antara sebab beliau mahu warisan itu terus diangkat.

Kini, Dr Ashari mahu pengalaman dan ilmu yang dikumpul sepanjang hampir lima dekad dalam dunia seni tidak terhenti pada dirinya.

Sebaliknya, beliau mahu Galeri Ashat terus menjadi ruang untuk golongan muda mengenali seni, mengembangkan bakat dan mendekati warisan budaya Sarawak.

Beliau juga mempunyai hasrat menubuhkan sebuah persatuan sebagai wadah kepada golongan muda yang berminat dalam bidang seni.

Bagi Dr Ashari, karya seni mungkin bermula dengan sehelai kanvas, warna dan berus, tetapi nilainya menjadi lebih besar apabila karya itu mampu menyimpan sejarah, menyampaikan penghargaan dan menjadi warisan untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

PENTAS SI CILIK serlah potensi diri

Pertandingan Putra Putri Cilik 2026 Edisi Karlas menjadi medan mencungkil bakat kanak-kanak dan remaja, di samping membina keyakinan diri, memupuk keberanian serta menyemai nilai keprihatinan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road